Remaja lemas ketika mandi sungai

19 Sep 2025 • 3:50 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

TAWAU: Kegembiraan awal sekumpulan anak muda mandi-manda berakhir duka apabila salah seorang remaja berusia 16 tahun lemas di sungai Balung River Eco Resort, Batu 24, Jalan Apas, di sini, pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Jasmin Hussin berkata remaja lelaki tempatan beralamat di Taman Apas Permai Batu 14 Jalan Apas itu ditemui tersangkut di celah batu di dasar sungai sekitar jam 5.50 petang.

Berdasarkan maklumat awal, kes itu dilaporkan berlaku jam 4 petang oleh abang mangsa berumur 23 tahun, yang diberitahu seorang guru yang berada di tempat kejadian.

Jasmin berkata selepas menerima maklumat terbabit pengadu terus bergegas ke lokasi kejadian dan tiba kira-kira jam 4.25 petang sebelum turut menyertai usaha mencari dan menyelamat (SAR) adiknya di sekitar sungai.

Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau menemui jasad mangsa kira-kira jam 5.50 petang tidak jauh dari lokasi terakhir dia dilihat di kawasan sungai terbabit.

Jasad mangsa dibawa ke Hospital Tawau kira-kira jam 7 petang dengan kenderaan polis manakala proses bedah siasat pula dijalankan selang tiga jam kemudian.

Kes diklasifikasikan sebagai laporan kematian mengejut (SDR) dan siasatan dikendalikan oleh Pegawai Penyiasat Sub Inspektor Julpin Jalaludin.

“Pihak polis turut menjalankan kaedah siasatan melalui rakaman gambar dan melukis rajah kasar di lokasi kejadian selain merakam sesi soal siasat percakapan saksi-saksi yang berkaitan,” katanya.