Remaja maut tertimbus telaga: Bapa didakwa abai anak

31 Mar 2023 • 9:21 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Laporan Sinar Harian pada 23 Disember lalu.

TEMERLOH - Seorang bapa dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas pertuduhan mengabaikan anak kandungnya hingga menyebabkan kematian pada 23 Disember lalu.

Bagaimanapun tertuduh tidak mengaku bersalah atas pertuduhan pengabaian ke atas kanak-kanak hingga menyebabkan kematian.

Pada 23 Disember lalu, seorang remaja berusia 15 tahun meninggal dunia dipercayai tertimbus dalam telaga bersebelahan rumah di Lanchang di sini selepas diarahkan bapanya masuk ke dalam telaga yang baru digali sedalam 10 kaki untuk membaiki alat di dalam telaga berkenaan.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Azhar Mohd Yusoff berkata, pertuduhan itu dilakukan selepas mendapat arahan Timbalan Pendakwa Raya Negeri Pahang pada Khamis di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 selepas kertas siasatan dibuka pada 23 Disember tahun lalu.

Menurutnya, tertuduh dibebaskan dengan jamin mahkamah sebanyak RM5,000.