
Kota Kinabalu: Seorang juruelektrik berusia 37 tahun dijatuhi hukuman penjara 18 tahun dan diperintah dikenakan 10 kali sebatan rotan pada Khamis kerana merogol anak tirinya.
Hakim Mahkamah Sesyen Ummu Khaltom Abdul Samad menjatuhkan hukuman itu ke atas lelaki berkenaan selepas memutuskan pendakwaan berjaya membuktikan kesnya melampaui keraguan munasabah.
Lelaki itu didapati bersalah merogol kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun dan lapan bulan itu pada Januari 2019 jam 8 malam di sebuah rumah sewa di Putatan.
Dia disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara lapan dan 30 tahun, dan sekurang-kurangnya 10 kali sebatan rotan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara dari tarikh sabitan iaitu pada Khamis selepas permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan sementara menunggu rayuan, ditolak.
Sembilan saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan memberikan keterangan sepanjang perbicaraan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Mazlan manakala lelaki itu diwakili peguam P.J Perira.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

