Remaja perempuan dilarikan dari Singapura, diselamatkan di Kuantan

LocalPolitics
27 Nov 2024 • 8:04 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Datuk M Kumar

JOHOR BAHRU - Polis Johor menahan seorang lelaki warga China dan berjaya menyelamatkan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang dipercayai dilarikannya, di Kuantan, Pahang, semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, polis menerima laporan daripada bapa remaja itu yang juga warga China berusia 48 tahun, mengenai kehilangan anaknya selepas tidak hadir ke sekolah di Singapura Isnin lepas, dipercayai dilarikan individu tidak dikenali.

Beliau berkata, semakan mendapati remaja itu dibawa masuk ke Malaysia melalui pintu masuk Woodland, Singapura, Ahad lepas.

"Melalui risikan, semalam anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor telah membuat serbuan dan berjaya menyelamatkan remaja itu di Kuantan, Pahang,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, polis menahan suspek berumur 22 tahun itu di lokasi berkenaan bagi membantu siasatan, dan merampas pelbagai barangan termasuk telefon bimbit, pakaian dan peralatan yang dipercayai digunakan ketika remaja itu dilarikan.

"Permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah terhadap suspek dibenarkan oleh majistret selama tujuh hari bermula hari ini hingga 2 Disember depan dan motif kejadian masih disiasat.

"Justeru, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau komen yang boleh mengganggu proses siasatan," katanya. - Bernama