
KAJANG - Perselisihan faham dipercayai menjadi punca seorang remaja perempuan tidak pulang ke rumah sejak Rabu selepas keluar ke sekolah.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, remaja berkenaan ditemui dalam keadaan selamat pada Sabtu.
"Remaja perempuan tersebut ditemui di Semenyih semalam, dipercayai salah faham dengan keluarga," katanya ringkas pada Ahad.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang remaja perempuan hilang ketika dalam perjalanan ke sekolahnya pada Rabu lalu.
Berdasarkan laporan dibuat ibunya, kali terakhir remaja itu dilihat kira-kira jam 6.15 pagi ketika keluar dari rumah di Kampung Padang, Hulu Langat di sini, menaiki sebuah bas dengan berpakaian sukan.
Bagaimanapun saksi yang juga rakan remaja terbabit mendapati dia turun daripada bas, namun tidak masuk ke kawasan sekolah.
