Remaja perempuan maut dihempap kayu alang di tokong

8 Apr 2026 • 3:57 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mangsa telah meninggal dunia selepas dihempap alang kayu di sebuh tokong di Tanjong Sepat . Gambar kecil: Mohd Akmalrizal

KUALA LANGAT - Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun maut dihempap kayu alang di sebuah tokong di Tanjong Sepat di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian daripada Penolong Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Tanjong Sepat pada jam 8.34 malam.

Menurutnya, pegawai klinik terbabit memaklumkan mangsa telah meninggal dunia selepas dihempap alang kayu di tokong terbabit.

"Siasatan awal mendapati mangsa pergi ke tokong terbabit bersama keluarganya.

"Mangsa meninggal dunia akibat parah di kepala," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, kejadian terbabit tidak mempunyai sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di talian 03-3187 2222 bagi membantu siasatan.