Remaja Perempuan Nyaris Jadi Mangsa Culik, Berjaya Selamatkan Diri Selepas Gigit Tangan Suspek

15 May 2026 • 10:21 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Image from: Remaja Perempuan Nyaris Jadi Mangsa Culik, Berjaya Selamatkan Diri Selepas Gigit Tangan Suspek

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Semalam (15 Mei) tular di media sosial rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan kejadian dipercayai cubaan culik seorang penunggang motosikal terhadap seorang remaja perempuan.

Berdasarkan rakaman berkenaan, kelihatan penunggang motosikal terbabit masuk ke sebuah lorong dan memberhentikan kenderaannya itu.

Pada ketika itu, dapat dilihat seorang wanita yang dipercayai remaja terbabit berjalan seorang diri sebelum penunggang motosikal itu menangkap mangsa.

Berlaku pergelutan di antara kedua-duanya sebelum mangsa dilihat menendang motosikal sehingga jatuh sebelum melarikan diri.

Berdasarkan maklumat pada video terbabit, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 8.26 malam pada 13 Mei lalu di Pekan Simpang Kuala, Alor Setar, Kedah.

View on Threads

Suspek Peluk & Tutup Mulut, Mangsa Selamatkan Diri Dengan Gigit Tangan Suspek

Terbaharu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali mengesahkan pihaknya ada menerima laporan berhubung kejadian berkenaan pada jam 3.45 petang semalam.

Jelasnya, mangsa yang berusia 14 tahun berjaya menyelamatkan diri selepas menggigit tangan suspek sebelum melarikan diri ke sebuah pusat tusiyen berhampiran untuk mendapatkan bantuan.

Terangnya, mangsa merupakan pelajar sebuah sekolah menengah di Alor Setar, Kedah.

“Siasatan awal mendapati mangsa sedang berjalan melalui lorong di Pekan Simpang Kuala sebelum didatangi secara tiba-tiba seorang lelaki menaiki motosikal.

“Suspek kemudian berhenti di hadapan mangsa lalu memeluk serta menutup mulut mangsa menggunakan tangan,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Utusan.

Usaha Kesan Suspek Sedang Giat Dilaksanakan

Tambah Syed Basri, pegawai penyiasat telah mengambil rakaman percakapan mangsa serta menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian bersama pihak forensik dan detektif.

“Pihak polis turut mendapatkan bantuan Unit Forensik D10 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah bagi mendapatkan sampel di tempat kejadian.

“Usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menyalurkan kepada pihak polis,” ujarnya.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 363 dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Pada masa yang sama, Syed Basri turut meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian berkenaan bagi membantu siasatan.

Baca Artikel Berkaitan: Gara-Gara Tegur Rakan Anak Bergaduh Berebut Pemadam, Wanita Disangka Penculik

Baca Artikel Berkaitan: “Tolong Hati-hati” – Lelaki Dakwa Letak Kain Di Side Mirror Kereta Jadi Taktik Terbaru Penculik [Video]