Remaja tembak lima kakitangan sekolah alami tekanan – PM Thai

7 Aug 2026 • 10:08 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Remaja tembak lima kakitangan sekolah alami tekanan – PM Thai

BANGKOK: Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul berkata, seorang suspek remaja yang terlibat dalam kejadian tembakan maut di sebuah sekolah pada Jumaat dipercayai mengalami tekanan dan telah merancang serangan itu lebih awal.

“Polis telah menyoal siasat rakan rapatnya yang memaklumkan bahawa suspek mengalami tekanan berkaitan persekolahannya. 

“Tindakannya juga menunjukkan bahawa dia jelas telah merancang (serangan tembakan) itu,” katanya kepada pemberita di luar sekolah menengah di wilayah Nonthaburi, yang bersempadan dengan Bangkok.

Senjata itu merupakan senjata api berdaftar dan disimpan di sebuah rumah, tetapi dia berjaya mendapatkannya.

Perdana Menteri menyatakan bahawa lebih daripada 30 orang cedera dengan kira-kira sembilan orang berada dalam keadaan kritikal.

Penembak itu dikenal pasti oleh media tempatan sebagai seorang pelajar sekolah tersebut.

Sementara itu, Menteri Pendidikan, Prasert Jantararuangtong berikrar untuk menyediakan bantuan kesihatan mental kepada para pelajar dan mempertingkatkan langkah keselamatan di institusi pendidikan.

“Kami belum memeriksa sama ada pelajar membawa senjata ke sekolah. Tahap keselamatan kami tidaklah begitu ketat,” katanya kepada pemberita di sekolah tersebut.

Remaja lelaki berusia 14 tahun itu digambarkan sebagai seorang yang mempunyai masalah peribadi dan sering dibuli oleh rakan sekelas, telah membunuh datuk dan neneknya sebelum menembak mati lima orang lagi di sebuah sekolah, kata polis.

Menurut kenyataan polis, remaja itu terlebih dahulu menembak mati datuk dan neneknya menggunakan pistol milik datuknya, kemudian pergi ke sebuah sekolah menengah di wilayah Nonthaburi yang bersempadan dengan Bangkok sebelum membunuh lima kakitangan sekolah.

Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa suspek itu juga meninggal dunia, dengan seorang pegawai polis memberitahu AFP bahawa remaja tersebut telah membunuh diri.

Pihak berkuasa sebelum ini melaporkan angka kematian yang lebih tinggi iaitu lapan orang termasuk suspek.

Wartawan AFP melihat berpuluh-puluh anggota polis dan pasukan kecemasan berkumpul di luar Sekolah Debsirin Nonthaburi yang telah dikepung manakala ibu bapa menunggu untuk menjemput anak-anak mereka.

Terdapat pelajar dan  kakitangan yang sedang menangis saling menenangkan satu sama lain di luar kawasan sekolah. – AGENSI

The post Remaja tembak lima kakitangan sekolah alami tekanan – PM Thai appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved