Seorang pelajar perempuan tingkatan dua dipercayai hilang selepas meninggalkan rumahnya di Taman Bandar Bukit Puchong, Putra Perdana, petang kelmarin untuk ke rumah rakannya.
Pelajar berkenaan, Noor Amni Nazaranee, 14, keluar sekitar jam 5 petang, sebelum ibunya menyedari ketiadaannya dan membuat laporan polis pada jam 1.40 pagi pada Jumaat.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Shan Gopal Krishnan berkata, abang mangsa mendakwa melihat adiknya meninggalkan rumah dengan menaiki perkhidmatan e-hailing menuju ke rumah rakannya di Lavender Terrace, Taman Puchong Prima.
Menurut Shan Gopal, Noor Amni dikatakan merancang untuk berjoging bersama rakan di Putrajaya dan kali terakhir dikesan berada di Jalan Renang 13/26, Shah Alam, pada jam 8.50 malam Khamis.
“Remaja itu dilaporkan memakai pakaian berwarna gelap, bertudung coklat dan membawa telefon bimbit. Setakat ini, tiada isu keluarga yang dikenal pasti berkait dengan kehilangannya,” katanya dalam kenyataan.
Kes ini diklasifikasi sebagai orang hilang (OH). Orang awam yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat, Sarjan Rasimah Ab Rasid di talian 012-3252521 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang di 03-87774222.
Sumber: Harian Metro
The post Remaja Tingkatan 2 hilang, kali terakhir dikesan di Shah Alam appeared first on The Reporter.

