Reman koperal didakwa pukul tujuh anggota tentera dilanjutkan dua hari lagi

LocalPolitics
4 Apr 2026 • 4:29 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Laporan Sinar Harian pada Rabu berhubung seorang anggota tentera yang dilaporkan koma manakala enam lagi rakan setugasnya cedera selepas dipercayai dipukul dalam kejadian di dalam Kem Tentera Batalion 25 RAMD di Bentong pada Isnin.

BENTONG – Perintah reman terhadap seorang anggota tentera berpangkat koperal yang disyaki memukul tujuh rakan setugasnya di Kem Batalion 25 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD di sini Isnin lalu, dilanjutkan selama dua hari lagi.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, permohonan sambungan reman itu dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

“Reman suspek berusia 37 tahun itu dilanjutkan bermula dari 5 hingga 6 April ini,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, pihak polis kini sedang melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri untuk tindakan selanjutnya.

Jelasnya, ziasatan terperinci masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian yang menyebabkan kecederaan kepada mangsa terlibat.

Terdahulu, media melaporkan seorang anggota tentera berusia 24 tahun dilaporkan koma manakala enam lagi rakan setugasnya cedera selepas dipercayai dipukul dalam kejadian kira-kira jam 8 malam di kawasan kem berkenaan.

Mangsa yang koma dilaporkan masih tidak sedarkan diri dan memerlukan bantuan alat pernafasan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh.

Siasatan awal mendapati kesemua mangsa merupakan anggota tentera berusia antara 19 hingga 22 tahun dan bukannya pelatih seperti yang tular di media sosial sebelum ini.

Suspek sebelum ini telah ditahan reman selama empat hari bermula 1 hingga 4 April bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen sama.