KUALA LUMPUR - Seorang penuntut kolej yang didakwa membunuh pasangan suami isteri yang menunggang motosikal dalam kemalangan berdekatan Menara Great Eastern di Jalan Ampang, memohon kepada Mahkamah Tinggi di sini supaya kes dihadapinya dibatalkan.
Danish Raman Kamar Kumaresan, 24, selaku pemohon, memfailkan notis usul berkenaan pada Rabu menerusi Tetuan Selvam Shanmugam & Partners.
Berdasarkan notis tersebut, pemohon berkata, keputusan pendakwa raya mendakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi kes kemalangan jalan raya adalah bersifat ‘mala fide’ iaitu berniat jahat.
Katanya, ia juga tidak munasabah, bercanggah dengan niat Parlimen serta melanggar Perkara 5 dan 8 Perlembagaan Persekutuan.
Lelaki itu memohon mahkamah mengisytiharkan bahawa kesalahan berkaitan kematian akibat pemanduan melulu, berbahaya atau di bawah pengaruh alkohol, diperuntukkan secara khusus di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (APJ) termasuk Seksyen 41 dan Seksyen 44 akta sama.
“Penggunaan Seksyen 302 kanun itu terhadap fakta kemalangan jalan raya tanpa elemen niat membunuh, telah bercanggah dengan prinsip asas undang-undang jenayah.
“Susulan itu, pertuduhan di bawah seksyen berkenaan perlu diketepikan dan dibatalkan,” kata notis berkenaan.
Pemohon berkata, pendakwaan selaku responden perlu mempertimbangkan semula pertuduhan selaras dengan peruntukan khusus di bawah APJ sekiranya fakta menyokong sedemikian.
Berdasarkan peruntukan di bawah akta berkenaan juga, pemohon memohon mahkamah membenarkannya untuk diikat jamin sementara menunggu pelupusan kes.
Semasa prosiding pendengaran notis usul di hadapan Hakim, Datuk Aslam Zainuddin, peguam, S Selvam yang mewakili pemohon berkata, pihaknya telah menerima dokumen bantahan awal daripada pihak pendakwaan pada Khamis.
“Kami mahu membalas hujahan berkenaan dan memohon mahkamah menetapkan tarikh singkat untuk prosiding akan datang,” katanya yang hadir bersama seorang lagi peguam, S Donald.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fadhly Mohd Zamry mengesahkan telah memfailkan membuat bantahan tersebut pada Rabu.
“Kami tidak membantah permohonan pemohon supaya mahkamah menetapkan tarikh lain untuk memfailkan hujahan balas,” katanya yang hadir bersama Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur, Datuk Mohd Nordin Ismail.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, mahkamah menetapkan 17 Ogos depan untuk pendengaran permohonan notis berkenaan.
Sementara itu, ketika ditemui di luar mahkamah, Mohamad Fadly berkata, pendakwaan membuat bantahan kerana permohonan pembelaan didapati tidak teratur.
“Ia juga tidak mengikut peruntukan di bawah Akta Mahkamah Kehakiman 1964,” katanya.
Pada 15 Mei lalu, Danish Raman yang memandu kereta jenis Toyota Vios didakwa di Mahkamah Majistret di sini, atas dua pertuduhan membunuh pasangan suami isteri yang menunggang motosikal dalam kemalangan di Jalan Ampang.
Mengikut dua pertuduhan, lelaki itu didakwa membunuh A Doraisingam, 61, dan isterinya, A Menagah, 56, di Jalan Ampang dari arah KLCC menghala ke Ampang Point jam 5.30 pagi pada 2 Mei.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati atau dipenjarakan antara 30 hingga 40 tahun, jika sabit kesalahan.
Sekiranya tidak dihukum gantung, tertuduh boleh dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali.




