
KUALA LANGAT: Syarikat pengeluaran elektrik dan elektronik (E&E), Renesas Semiconductor KL Sdn. Bhd. (RSKL) bersedia meneroka sektor pembuatan produk bagi menjana kecerdasan buatan (AI) dalam tempoh dua tahun akan datang.
Pengarah Urusannya, Tee Kean Soon berkata, pengeluaran produk tersebut akan dilakukan di kilangnya di negara ini melibatkan jumlah pelaburan mencecah RM700 juta.
“Kita akan meneroka produk AI dalam tempoh dua tahun akan datang dengan nilai pelaburan sebanyak RM700 juta. Ia merupakan projek baharu yang akan dilaksanakan di kilang kita. Kita juga ada kilang di negara lain seperti Jepun dan China.
“Kita memang sudah ada model yang siap untuk dijadikan sebagai produk akhir di peringkat pengeluaran. Ini kerana terdapat permintaan dalam kalangan rakan niaga sedia ada dan ia akan dikembangkan di negara ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Projek Tempat Letak Kereta Berbumbung Panel Solar di sini, hari ini.
Terdahulu, Ketua Global Operasi Pembuatan Renesas Electronics, Ooi Heng Ee memberitahu, pihaknya akan mempercepat transformasi operasi melalui inisiatif kilang pintar yang mengintegrasikan automasi, pendigitalan, AI dan analitik termaju.
“Selain meningkatkan produktiviti, kualiti dan kelestarian, dalam jangka panjang kami beraspirasi untuk merealisasikan Light-off Production, iaitu operasi pembuatan berutomasi tinggi.
“Ia mampu berfungsi dengan campur tangan manusia yang minimum, sambil mengekalkan standard bertaraf dunia dari segi kecekapan, kualiti dan kecemerlangan operasi,” jelasnya.
Sementara itu, bagi Projek Tempat Letak Kereta Berbumbung Panel Solar, RSKL menyasarkan pemasangan peralatan yang boleh menjana 2.4 megawatt sejam (MWh) menerusi 325 petak letak kereta dan mengurangkan pelepasan 3,610.4 tan metrik karbon setahun.
Langkah itu sejajar dengan tonggak utama strategi jangka panjang untuk membekal purata 10.5 megawatt sejam (MWh) tenaga bersih setiap hari. – UTUSAN
The post Renesas Semiconductor KL labur RM700 juta hasil produk AI appeared first on Utusan Malaysia.

