UiTM, MAB Kargo meterai MoA bagi penghantaran kereta solar ke pertandingan BWSC 2023 di Australia

3 Oct 2023 • 3:31 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

UiTM, MAB Kargo meterai MoA bagi penghantaran kereta solar ke pertandingan BWSC 2023 di Australia

zulfadli

03/10/2023 - 15:31

KUALA LUMPUR 3 Okt - Universiti Teknologi MARA (UiTM) memeterai memorandum perjanjian (MoA) dengan MAB Kargo (M) Sdn Bhd bagi perkhidmatan penghantaran kereta solar universiti berkenaan sempena pertandingan Bridgestone World Solar Challenge (BWSC) 2023.

UiTM melalui pasukan Ecophoton akan mewakili Malaysia dalam pertandingan kereta solar berprestij itu yang bakal berlangsung pada 22 hingga 29 Oktober ini.

MAB Kargo akan menyumbang perkhidmatan penghantaran kereta solar UiTM, Ecophoton yang dibangunkan oleh pelajar-pelajar UiTM untuk ke pertandingan BWSC 2023.

Nilai sumbangan perkhidmatan kargo ini adalah melebihi RM100,000 melibatkan penghantaran pergi dan balik kereta solar ke dalam kargo dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) ke Lapangan Terbang Sydney, Australia.

Terdahulu, MoA tersebut ditandatangani oleh Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Roziah Mohd Janor bersama Ketua Pegawai Eksekutif MAS Kargo, Mark Jason Thomas, sambil disaksikan Penolong Naib Canselor Kolej Pengajian Kejuruteraan UiTM, Prof Dr Hamidah Mohd Saman dan Ketua Strategi, Pemasaran dan Pembangunan MAS Kargo, Kenneth Chan Chek Mun.

Perjanjian persefahaman ini diketuai oleh Kolej Pengajian Kejuruteraan (KPK) UiTM bersama MAB Kargo yang merupakan bahagian kargo bagi syarikat Malaysia Airlines Bhd.

Dengan termeterainya memorandum ini, kerjasama strategik yang terjalin dapat memberi impak positif kepada kedua-dua belah pihak khususnya dalam meningkatkan kompetensi pelajar-pelajar UiTM dalam menguruskan dan membangunkan kereta solar bertaraf dunia untuk ke pertandingan BWSC.

image is not available

Libat sama antara universiti dan industri antarabangsa yang dijalankan dengan berkesan akan memenuhi keperluan industri khususnya dalam menyiapkan graduan UiTM yang holistik dan berdaya saing.

Dalam perkembangan sama, pertandingan yang diadakan setiap dua tahun itu diwakili oleh pelajar-pelajar universiti seluruh dunia.

Setiap pasukan akan mereka bentuk dan menghasilkan kereta solar mengikut kriteria yang ditetapkan sebelum dibenarkan untuk berlumba di Australia sejauh 3,000 kilometer dari Darwin ke Adelaide.

image is not available

image is not available

Penyertaan pasukan Ecophoton dalam pertandingan ini bakal melonjakkan UiTM di pentas antarabangsa, selari dengan hasrat UiTM menjadi Universiti Terkemuka Dunia menjelang 2025 khususnya dalam melahirkan graduan bertaraf dunia.

UiTM dan Malaysia Airlines sebelum ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) pada 8 September lepas bagi manfaat kekuatan masing-masing sebagai pemangkin dalam industri penerbangan dan pendidikan mampan. - DagangNews.com