reNIKOLA disenarai pendek projek solar 618 MWp di bawah LSS 5+ di Kemaman, Terengganu

04/09/2025 - 17:28
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 4 Sept – reNIKOLA Holdings Sdn Bhd disenarai pendek untuk membangunkan kapasiti solar 400 MWac atau 618 MWp di bawah program Large Scale Solar 5+ (LSS 5+) Malaysia, inisiatif utama di bawah Pelan Induk Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Projek berkenaan melibatkan dua cadangan pembangunan di Kemaman, Terengganu.
Pertama, projek 250 MWac / 386 MWp yang dilaksanakan oleh konsortium reNIKOLA, RE Chenderong Sdn Bhd dan kumpulan Anglo-Eastern Plantations Plc (AEP).
Projek kedua pula ialah 150 MWac / 232 MWp yang akan dibangunkan oleh Antara Hijauan Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh reNIKOLA bersama AEP.
Apabila siap menjelang akhir 2027, kedua-dua projek ini bakal membekalkan tenaga bersih kepada grid selama 21 tahun dengan pelaburan langsung dianggarkan mencecah RM1.2 bilion.
Ia dijangka mewujudkan ratusan peluang pekerjaan baharu dan mengukuhkan kedudukan Terengganu sebagai hab ekonomi hijau yang sedang berkembang di Malaysia.
Selain penjanaan tenaga, reNIKOLA turut memperkenalkan inisiatif pemuliharaan alam sekitar melalui penubuhan Yayasan Santuari Gajah sebagai sebahagian daripada pembangunan 618 MWp tersebut.
Yayasan itu akan menumpukan usaha melindungi spesies gajah terancam, termasuk membangunkan koridor makanan gajah dengan tanaman rumput napier, buluh dan pisang bagi menyediakan sumber makanan lestari.
Langkah tersebut juga bertujuan mengurangkan konflik manusia–gajah, meningkatkan kesedaran pemuliharaan serta menggalakkan penglibatan masyarakat setempat.
Pengarah Urusan reNIKOLA, Boumhidi Adel berkata, pencapaian ini menjadi mercu tanda penting bagi syarikat dalam memperkukuh peranan Terengganu sebagai pusat ekonomi hijau.
“Projek ini membuktikan bahawa tenaga bersih, pertumbuhan ekonomi dan kelestarian alam sekitar boleh bergerak seiring dalam membina masa depan mampan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Presiden B.Grimm Power Public Company Limited, Datuk Sri Dr Harald Link yang juga pemegang saham strategik reNIKOLA sebanyak 45% berkata, pencapaian itu sejajar dengan matlamat syarikat untuk membangunkan tenaga yang berdaya saing serta beretika.
“Dengan menggabungkan tenaga boleh diperbaharui berskala besar bersama perlindungan biodiversiti, kami menyokong penuh usaha Malaysia dalam mencapai ekonomi rendah karbon,” ujarnya.
Kerjasama dengan AEP yang tersenarai di Bursa Saham London turut menyerlahkan peranan industri tradisional dan pemain tenaga baharu dalam mempercepatkan peralihan tenaga negara.
Ketika ini, reNIKOLA memiliki dan mengurus portfolio tenaga boleh diperbaharui berjumlah 843 MWp melibatkan loji solar berskala besar serta bioenergi di seluruh Semenanjung Malaysia. - DagangNews.com
standard



