USIM raih anugerah antarabangsa melalui projek terbaik di Indonesia

3 Sep 2025 • 11:31 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

USIM raih anugerah antarabangsa melalui projek terbaik di Indonesia

image is not available

03/09/2025 - 11:31

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 3 Sept – Dua mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) daripada Program Komunikasi, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) berjaya mengharumkan nama universiti apabila meraih Anugerah Best Group Project dalam program IP-COS Summer Course anjuran Universitas Muhammadiyah Yogyakarta di Indonesia baru-baru ini.

Program yang berlangsung dari 27 Julai hingga 9 Ogos itu menghimpunkan 25 peserta antarabangsa daripada pelbagai institusi termasuk Universiti Malaya (UM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Ateneo de Manila University serta University of the Philippines Diliman.

Sepanjang program, para peserta menjayakan Pameran Foto Dokumentari di Masjid Mataram, Kotagede, Yogyakarta, yang menjadi wadah kolaborasi merentas budaya dan sempadan.

Ketua Panitia IP-COS Summer Course, Dr. Muria Endah berkata, pameran tersebut merupakan rangkuman projek akhir peserta yang menampilkan hasil foto terbaik mereka.

“Setiap pelajar turut diberi peluang memberi penerangan kepada pelawat dan pelancong, sekali gus meningkatkan keyakinan serta kemahiran komunikasi antarabangsa,” katanya.

image is not available

Salah seorang peserta USIM, Siti Nur Imanina Zamzuri pula berkata, beliau memperoleh banyak pengalaman dan ilmu baharu sepanjang pameran tersebut berlangsung.

“Terutamanya dari segi keyakinan diri. Walaupun bahasa Inggeris saya tidak begitu lancar, saya berani berinteraksi dengan rakan dari Filipina dan Indonesia.

“Seronok juga dapat belajar beberapa perkataan baharu dalam bahasa Indonesia dan Tagalog,” katanya.

Tambahnya, pengalaman bertukar pandangan serta berkongsi budaya antara peserta adalah sesuatu yang tidak dapat dilupakan.

image is not available

image is not available

Program tahunan UMY itu memberi fokus kepada pembangunan kemahiran dalam kewartawanan foto, termasuk kursus fotografi, penulisan nota lapangan, pembinaan storyboard, dokumentasi pameran foto serta lawatan ke lokasi bersejarah sekitar Yogyakarta.

Penyertaan mahasiswa USIM turut mendapat sokongan daripada beberapa penaja termasuk Pusat Wakaf dan Zakat USIM, Surau Safni Nilai Impian, Zarasa Fotostat, LNC Room Print Sdn. Bhd, Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK) serta sumbangan individu daripada Felo Budi FKP.

Kejayaan ini membuktikan komitmen USIM melahirkan graduan bukan sahaja kompeten dalam bidang akademik, malah berdaya saing di peringkat antarabangsa selari dengan aspirasi universiti ke arah global. - DagangNews.com

standard