Reservoir Link catat kerugian bersih RM52.6 juta pada 4QFY25 disebabkan penyusutan hasil

LocalBusiness & Finance
27 Aug 2025 • 5:40 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Reservoir Link catat kerugian bersih RM52.6 juta pada 4QFY25 disebabkan penyusutan hasil

image is not available

27/08/2025 - 17:40

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Ogos - Kerugian bersih Reservoir Link Energy Berhad pada suku keempat berakhir 30 Jun 2025 (4QFY25) melebar kepada RM52.6 juta berbanding RM505,000 pada suku sama tahun sebelumnya disebabkan penyusutan hasil daripada segmen kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) tenaga boleh diperbaharui (RE).

Hasil kumpulan bagi suku tersebut juga susut kepada RM25.6 juta berbanding RM43 juta pada 4QFY24.

"Penyusutan hasil kumpulan adalah disebabkan pengurangan sebanyak RM15.3 juta dalam hasil daripada segmen EPCC RE, memandangkan kumpulan hanya menyatukan Founder Group Limited (FGL) sehingga 23 Oktober 2024, berikutan penyenaraian FGL yang telah mencairkan pegangan saham kumpulan daripada 51% kepada 45%.

"Selain itu, hasil daripada segmen minyak & gas turut berkurang sebanyak RM2.5 juta disebabkan tamatnya beberapa kontrak," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

Bagaimanapun untung bersih kumpuan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 (FY25) naik kepada RM29.5 juta berbanding kerugian bersih RM836,000 pada tahun sebelumnya namun hasil kumpulan susut le[ada RM125.4 juta berbanding RM185.6 juta pada FY24.

Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu berkata, pihaknya berada dalam kedudukan kukuh untuk meraih manfaat daripada peluang dalam tenaga tradisional dan RE.

Katanya, segmen perkhidmatan huluan minyak dan gas di Malaysia dijangka kekal stabil untuk tempoh tiga tahun akan datang, disokong oleh unjuran harga minyak mentah antara AS$70 hingga AS$80 setong.

"Jumlah telaga yang akan digerudi dijangka meningkat sedikit pada 2025, manakala aktiviti penutupan dan penamatan telaga (P&A) dijangka menurun pada 2025 sebelum meningkat semula mulai 2026.

"Dengan perancangan untuk melaksanakan kerja-kerja P&A telaga dan penyahaktifan kemudahan luar pesisir, program penyahaktifan nasional menyediakan peluang projek yang kukuh sehingga 2026 dan seterusnya.

"Keupayaan yang telah dibangunkan kumpulan sejajar secara langsung dengan skop projek-projek ini. Dengan kerjasama strategik, ia dapat meningkatkan lagi kelebihan daya saing kami dalam mendapatkan dan melaksanakan kontrak bernilai tinggi," katanya. - DagangNews.com

standard