Able Global catat hasil RM164.6 juta pada Q2FY2025, umum dividen interim kedua

LocalBusiness & Finance
27 Aug 2025 • 9:45 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Able Global catat hasil RM164.6 juta pada Q2FY2025, umum dividen interim kedua

image is not available

27/08/2025 - 09:45

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA TERENGGANU 27 Ogos Able Global Berhad, syarikat pegangan pelaburan yang terlibat dalam pembuatan tin, makanan & minuman serta pembangunan hartanah mencatatkan hasil sebanyak RM164.62 juta bagi suku kedua tahun kewangan berakhir 31 Jun 2025 (Q2FY25).


Syarikat itu berkata, jumlah tersebut menyusut 8.1% berbanding RM179.21 juta pada tempoh sama tahun lalu.

“Namun keuntungan sebelum cukai (PBT) direkodkan pada RM24.28 juta, manakala keuntungan selepas cukai (PAT) meningkat sedikit kepada RM18.23 juta.

“Berbanding suku pertama tahun ini (Q1FY25), Able Global telah menunjukkan prestasi lebih kukuh dengan peningkatan hasil 4.5%. PBT melonjak 32.6% daripada RM18.30 juta, manakala PAT naik 27.2% daripada RM14.33 juta,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengikut segmen, pembuatan tin mencatat pertumbuhan kecil 1.3% kepada RM21.01 juta, berbanding RM20.75 juta pada suku sebelumnya.

Able Global berkata, segmen F&B pula melonjak 7.7% kepada RM140.83 juta, sementara pembangunan hartanah menyumbang RM2.79 juta.

“Bagi separuh pertama tahun kewangan 2025 (1HFY25),syarikat merekodkan jumlah hasil RM322.12 juta, dengan PBT RM42.58 juta dan PAT RM32.56 juta.

“Lembaga Pengarah turut mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 2 sen sesaham biasa bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, dengan tarikh pembayaran dan penutupan buku akan ditentukan kemudian,” katanya.

Prospek dan Strategi Masa Depan

Syarikat berkata ,prestasi positif ini didorong oleh kestabilan harga keluli serta permintaan global yang kukuh terhadap produk tenusu.

“Walaupun pasaran pembuatan tin berdepan persaingan sengit serta ketidaktentuan harga komoditi dan mata wang asing, kami yakin dapat mengekalkan pertumbuhan mapan dan keuntungan.

“Suku ini menandakan pemulihan kukuh berbanding suku sebelumnya,” jelas syarikat itu.

Able Global turut optimis terhadap segmen pembangunan hartanah, dengan projek tanah Pulau Carey kini dalam proses penukaran status daripada pertanian kepada perindustrian dan komersial.

“Selain itu, kerja infrastruktur di tanah Kapar telah bermula dan dijangka menjana hasil secara progresif.

“Inisiatif strategik ini akan meletakkan Able Global pada kedudukan yang kukuh untuk pertumbuhan berterusan dan penciptaan nilai jangka panjang,” katanya. - DagangNews.com

standard