Reservoir Link raih tiga kontrak solar bernilai RM18.1 juta sejak Mei 2023

Business & Finance
19 Jun 2023 • 5:53 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Reservoir Link raih tiga kontrak solar bernilai RM18.1 juta sejak Mei 2023

diyana

19/06/2023 - 17:53

KUALA LUMPUR 19 Jun - Pembekal perkhidmatan berkaitan tenaga, Reservoir Link Energy telah memperoleh tiga kontrak solar bernilai RM18.1 juta melalui anak syarikatnya, Founder Energy Sdn Bhd sejak Mei 2023.

Di bawah kontrak pertama, kumpulan itu akan membekalkan dan menghantar struktur pemasangan solar condong tetap untuk projek solar berskala besar, manakala kontrak kedua melibatkan pembekalan buruh dan bahan, termasuk loji dan mesin.

Selain itu, kumpulan itu juga telah dilantik sebagai subkontraktor untuk kejuruteraan, perolehan, pembinaan, dan pentauliahan di bawah kontrak ketiga untuk projek solar yang lain.

Ketiga-tiga projek ini terletak di Selangor dan Perak yang akan mempunyai gabungan output sebanyak 67.4 MWac apabila siap, katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Pengarah Eksekutif Reservoir Link, Thien Chiet Chai berkata penambahan kontrak solar tersebut berfungsi sebagai petunjuk kukuh ke arah jangkaannya dalam beberapa bulan akan datang.

“Dengan momentum ruang tenaga boleh diperbaharui, kami amat percaya bahawa kami berada dalam kedudukan optimum untuk mempercepatkan lagi trajektori pertumbuhan kumpulan, disokong oleh permintaan yang berkembang pesat dalam industri solar di Malaysia,” ujar beliau.

Beliau menambah bahawa pencapaian terbaharu ini dan permintaan untuk tenaga solar akan membantu kumpulan itu menambah perancangan projek pada masa akan datang bagi memastikan pertumbuhan pendapatan berterusan.

Jelasnya, kontrak baharu turut menyumbang kepada masa hadapan lebih mampan ketika kumpulan itu meneroka penyelesaian alternatif boleh diperbaharui yang lain untuk mempelbagaikan perniagaannya.

Saham Reservoir Link ditutup pada 32 sen hari ini, menokok 1 sen atau 3.2% dengan modal pasaran bernilai RM92.9 juta. -DagangNews.com