Residensi Hektar Gombak disambung semula, pembeli dijangka terima kunci 2027

30 Jul 2025 • 1:42 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

RM125 juta diperuntukkan bagi sambung semula projek perumahan mampu milik selepas lima tahun terbengkalai

Setelah lebih lima tahun tertangguh, Projek Residensi Hektar Gombak yang dibangunkan di bawah Program Residensi Wilayah (RUMAWIP) kini disambung semula dengan suntikan dana baharu berjumlah RM125 juta. Langkah ini dijangka memberi kelegaan kepada lebih 2,400 pembeli rumah yang sudah lama menanti penyelesaian.

Projek yang bermula pada tahun 2018 itu sepatutnya siap menjelang 2022, namun pelbagai isu menyebabkan ia terbengkalai sehingga menjejaskan pembeli. Hari ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, mengumumkan bahawa kerja-kerja pembinaan akan dimulakan semula serta-merta oleh kontraktor utama baharu yang telah dilantik.

“Dengan adanya suntikan modal RM125 juta ini, kerja-kerja pembinaan akan bermula hari ini dan ia diteruskan oleh kontraktor utama baharu,” katanya dalam sidang media khas ketika mengadakan lawatan ke tapak projek berkenaan di Gombak.

Baca juga:

Serah kunci atau disenaraihitam

Dalam sidang media itu, Kor Ming turut memberi amaran keras kepada pemaju agar menyiapkan projek mengikut jadual baharu dan menyerahkan kunci rumah kepada pembeli selewat-lewatnya tahun 2027.

“Ini peluang terakhir kepada pemaju perumahan. Sekiranya dia (pemaju) gagal lagi untuk serah kunci pada 2027 (kepada pembeli), saya akan menggunakan kuasa menteri untuk menyenaraihitamkan pemaju berkenaan termasuk ahli lembaga pengarah syarikat terbabit.

“Tiada lagi peluang kedua. Duit sudah ada, tidak ada alasan lagi. Pemaju perlu pastikan mereka serah kunci pada 2027,” tegas beliau.

KPKT akan terus memantau secara dekat setiap fasa pelaksanaan projek agar pelan pemulihan dipatuhi dan hak pembeli sentiasa terpelihara.