Resintech peroleh kontrak RM16.5 juta bekalkan paip dan kelengkapan infrastruktur air di Kemboja

17/09/2025 - 17:25
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 17 Sept – Resintech Berhad, peneraju dalam pembuatan paip plastik, tangki air dan kelengkapan melalui anak syarikat milik penuhnya, Resintech Plastics (M) Sdn. Bhd memperoleh kontrak bernilai kira-kira RM16.5 juta (AS$3.93 juta) daripada Phnom Penh Water Supply Authority (PPWSA).
Kontrak lima bulan yang bermula pada 15 September 2025 itu melibatkan bekalan dan penghantaran paip HDPE serta kelengkapan bagi menyokong pengembangan infrastruktur air PPWSA di Phnom Penh, Kemboja.
Kontrak itu merupakan fasa pertama penglibatan Resintech di pasaran infrastruktur air Kemboja, dengan lebih banyak fasa dijangka dalam masa terdekat.
Resintech menjangkakan nilai potensi projek itu boleh mencapai sehingga RM40 juta sebagai langkah penting dalam strategi pengembangan serantau syarikat.
Pengarah Urusan Resintech, Datuk Dr. Teh Kim Poo berkata, kontrak itu menjadi penanda aras penting dalam strategi pengembangan serantau Syarikat.
“Kemboja menunjukkan permintaan jangka panjang yang kukuh untuk infrastruktur air dan Resintech berbangga dapat menyumbang dengan menyediakan penyelesaian berkualiti tinggi.
“Dengan pesanan yang diperoleh setakat ini, kami yakin mampu mencapai pertumbuhan hasil dan keuntungan dua digit bagi FY2026, malah berpeluang mencatatkan prestasi tertinggi syarikat,” katanya dalam satu kenyataan.
Projek itu disokong oleh Agence Française de Développement (AFD), bank pembangunan rasmi Perancis, yang telah menjadi rakan jangka panjang sektor air Kemboja selama hampir dua dekad.
AFD telah membiayai pelbagai loji rawatan dan pengembangan rangkaian paip di Phnom Penh serta bandar-bandar sekunder, menyumbang kepada peningkatan akses kepada air bersih dan ketahanan iklim.
Mengulas lanjut, beliau berkata, penglibatan AFD membuktikan kepentingan dan kredibiliti projek tersebut untuk dilaksanakan.
“Resintech berbangga menjadi sebahagian daripada inisiatif bertaraf antarabangsa yang bukan sahaja meningkatkan infrastruktur air Kemboja tetapi juga memberikan manfaat jangka panjang kepada komuniti dan alam sekitar.
“Kami akan terus memanfaatkan kepakaran sebagai pembekal penyelesaian infrastruktur air serantau, berdasarkan rekod prestasi terbukti dalam segmen infrastruktur air, komuniti dan tenaga di Malaysia serta strategi pengembangan serantau ke Kemboja dengan potensi kontrak signifikan.
“Sekiranya tiada sebarang halangan, Resintech berada pada kedudukan baik untuk mencapai prestasi tertinggi bagi FY2026 sambil menyambut Jubli Emas 50 tahun penubuhan Syarikat,” katanya.
Resintech Berhad adalah syarikat terkemuka yang berpangkalan di Malaysia khusus dalam pengeluaran dan pemasaran pelbagai jenis paip plastik, tangki air dan kelengkapan. - DagangNews.com
standard

