70% daripada 6.9 juta pelancong ke Terengganu adalah pengunjung domestik

17/09/2025 - 09:18
Pulau Lang Tengah / Gambar Kelab Wartawan Media Terengganu Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA TERENGGANU 17 Sept – 70% daripada 6.9 juta pelancong yang datang ke Terengganu bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini adalah pelancong domestik manakala bakinya adalah pelancong antarabangsa.
Peningkatan kedatangan pelancong itu jauh mengatasi sasaran awal yang ditetapkan sebelum ini iaitu 8.5 juta pengunjung sepanjang tahun 2025.
Antara faktor yang menarik minat pelancong termasuklah keenakan makanan tradisional Terengganu, keunikan budaya, keindahan Tasik Kenyir serta pulau-pulau yang menjadi destinasi pelancongan utama di rantau ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata, sekitar 70% daripada jumlah pelancong yang direkodkan adalah daripada pasaran domestik, manakala selebihnya merupakan pelawat dari luar negara.
Beliau berkata, beberapa acara pelancongan besar masih menanti untuk dianjurkan sehingga penghujung Disember ini, termasuk Festival Kenyir, Terengganu Peranakan Cina Festival, Pesta Air Marang, Festival Sains Teknologi & Inovasi, Nelayan Berkolek, Promosi Kraf Malaysia serta pelbagai program bertaraf negeri dan antarabangsa.
“Dengan baki acara yang padat sehingga hujung tahun, ditambah dengan musim cuti sekolah dan perayaan, kita yakin angka kunjungan akan terus melonjak sekali gus membantu menjayakan sasaran lebih 10 juta pelancong.
“Apatah lagi, baru-baru ini Terengganu diiktiraf sebagai negeri paling bahagia melalui Indeks Kebahagiaan Malaysia 2024 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia.
“Sudah tentu semakin ramai pelancong luar tertarik untuk datang ke Terengganu selepas ini,” katanya ketika dihubungi DagangNews.com hari ini.
Beliau berkata, sambutan luar biasa semasa cuti panjang sempena Hari Kebangsaan, Maulidur Rasul dan Hari Malaysia baru-baru ini juga berjaya menarik ratusan ribu pengunjung membanjiri Terengganu untuk menikmati percutian yang diidamkan.
“Perarakan bot sempena Hari Kebangsaan contohnya menjadi satu daya tarikan unik kerana tidak dianjurkan di negeri lain.
“Ia membuktikan keunikan Terengganu sebagai destinasi pelancongan yang mampu memberi pengalaman berbeza kepada pengunjung,” ujar beliau.

Selain itu, program berunsurkan warisan budaya seperti pertunjukan Ulek Mayang, persembahan dikir barat, pameran kraftangan serta festival makanan tradisional terus mendapat sambutan hangat, khususnya daripada pelancong tempatan.
Razali menegaskan kerajaan negeri komited memperkukuh sektor pelancongan dengan memanfaatkan aset semula jadi serta memperluas promosi digital untuk menarik lebih ramai pelancong asing, terutama dari rantau ASEAN, China, Korea dan Eropah.
Katanya, peningkatan jumlah pengunjung ini bukan sahaja memberi sumbangan langsung kepada sektor pelancongan malah mencetuskan limpahan ekonomi kepada komuniti tempatan, termasuk pengusaha homestay, bot pelancong, pemandu pelancong, penjaja makanan dan usahawan kraftangan.
“Insya-Allah, dengan kerjasama semua pihak, kita yakin 2025 bakal menjadi tahun rekod baharu untuk industri pelancongan Terengganu,” katanya. - DagangNews.com
standard




