Aeronas terima tempahan 50 pesawat ringan bernilai RM357 juta

LocalBusiness & Finance
28 Jul 2026 • 11:37 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Aeronas terima tempahan 50 pesawat ringan bernilai RM357 juta

ISKANDAR PUTERI – Syarikat pengeluar pesawat tempatan, Aeronas Aerocraft Sdn. Bhd. (Aeronas) mencipta sejarah apabila memperoleh tempahan terkumpul sebanyak 50 pesawat ringan bernilai RM357 juta (AS$85 juta), sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain baharu industri aeroangkasa Malaysia yang berpotensi menembusi pasaran antarabangsa.

Tempahan tersebut diterima menerusi kerjasama dengan Konsortium Wholechoice dari Hong Kong melalui pembelian 30 pesawat kemudian menyatakan hasrat untuk menambah lagi 20 pesawat, menjadikan jumlah ke­seluruhan kepada 50 unit.

Pengarah Urusan merangkap Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Aeronas Aerocraft, Tengku Raja Shazreen Petra Tengku Azman Shah berkata, perkembangan itu membuktikan keyakinan pasaran antarabangsa terhadap kemampuan syarikat tempatan menghasilkan pesawat berkualiti.

Menurut beliau, pelancaran rasmi pesawat dijangka diadakan pada penghujung tahun ini sebelum pengeluaran dimulakan pada tahun depan bagi meme­nuhi tempahan yang diterima.

“Penghantaran pertama melibatkan 15 pesawat dijadualkan bermula secara berperingkat pada suku pertama dan suku kedua tahun 2027 untuk ­menyokong operasi sekolah pe­nerbangan serta program pajakan pesawat di rantau Asia,” katanya.

Image from: Aeronas terima tempahan 50 pesawat ringan bernilai RM357 juta

Beliau berkata demikian ketika ditemui di pejabat Aeronas Aerocraft di Kawasan Perindustrian SILC, Iskandar Puteri semalam.

Raja Shazreen berkata, kira-kira 90 peratus tempahan syarikat ketika ini datang dari luar negara menerusi rangkaian peniaga pesawat, dengan China menjadi antara pasaran utama selain Singapura dan Hong Kong.

Jelas beliau, pelanggan terdiri daripada syarikat perdagangan pesawat dan institusi kewangan yang menawarkan kemudahan pajakan kepada syarikat penerbangan dan pengendali pesawat.

Selain itu, dalam usaha memperkukuhkan pembangunan industri aeroangkasa negara, Aeronas turut memeterai kerjasama strategik dengan tujuh institusi tempatan termasuk institusi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Kerjasama itu melibatkan pembangunan silibus dan kursus baharu dalam bidang aeroangkasa, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta endowmen bernilai RM51 juta kepada Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) bagi memperkasa pembangunan modal insan.

Tengku Raja Shazreen memaklumkan, Aeronas turut me­rancang membangunkan Aerospace City Education Hub di Johor sebagai hab pendidikan dan latihan aeroangkasa bagi melahirkan lebih ramai tenaga mahir tempatan.

Menurutnya, syarikat kini beroperasi menggunakan bengkel pemasangan berskala kecil sebelum beralih kepada kemudahan pemasangan separa lengkap pada tahun depan, diikuti pembinaan kilang pembuatan penuh.

Katanya, beberapa negeri termasuk Sabah, Selangor, Kedah dan Pahang telah menawarkan tapak bagi pembinaan kilang tersebut, namun lokasinya masih dalam peringkat penelitian.

“Apabila kilang pembuatan penuh beroperasi kelak, ia mampu menghasilkan sehingga 180 pesawat setahun, menyediakan kira-kira 450 peluang pekerjaan secara langsung serta mewujudkan hampir 3,000 peluang pekerjaan lagi dalam rantaian bekalan dalam tempoh tiga tahun.

“Dalam tempoh lima hingga 10 tahun, industri ini berpotensi menjana sehingga 30,000 peluang pekerjaan,” katanya. -KOSMO! ONLINE

The post Aeronas terima tempahan 50 pesawat ringan bernilai RM357 juta appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved