Resolusi PBB: Minta Nasihat ICJ Senarai Akibat Penjajahan Israel Di Palestin

31 Dec 2022 • 1:45 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Undi ini dibuat sehari selepas kerajaan baharu Israel berikrar untuk mempercepatkan dasar penjajah dan perkauman terhadap rakyat Palestin - Gambar Fail AFP

NEW YORK - Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat menerima pakai resolusi yang meminta Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memberi khidmat nasihat dari segi undang-undang mengenai akibat pendudukan Israel di wilayah Palestin, lapor Agensi Anadolu.

Seramai 87 negara anggota mengundi menyokong resolusi itu, 26 negara termasuk Israel dan Amerika Syarikat menentangnya manakala 53 negara berkecuali.

Resolusi itu meminta mahkamah yang berpangkalan di Hague, juga dikenali sebagai Mahkamah Dunia untuk memberikan pendapatnya dari segi undang-undang ''tentang akibat daripada pencabulan berterusan Israel di wilayah Palestin sejak 1967, termasuk langkah-langkah yang bertujuan mengubah komposisi demografi.''

Duta Israel ke PBB, Gilad Erdan mengecam resolusi itu dan berkata ia adalah 'keputusan yang keji'' dan 'memalukan PBB dan mana-mana negara yang menyokongnya.''

Duta Besar Palestin Riyad Mansour berkata: ''Undi ini dibuat sehari selepas kerajaan baharu Israel berikrar untuk mempercepatkan dasar penjajah dan perkauman terhadap rakyat Palestin.'' - Bernama