
KUALA LUMPUR: Golongan setiausaha dan profesional pentadbiran perlu menguasai teknologi kecerdasan buatan (AI) serta meningkatkan kemahiran bagi memastikan kekal relevan dalam landskap pekerjaan yang semakin dinamik.
Pengarah Projek Seminar Raikan Setiausaha 2026, Mohd Shegy Jalil berkata, perkembangan teknologi tidak seharusnya dianggap sebagai ancaman, sebaliknya peluang untuk golongan setiausaha meningkatkan kecekapan dan memberi nilai tambah kepada organisasi.
“Kita mahu mengubah persepsi bahawa setiausaha hanya berperanan sebagai penyokong pentadbiran. Dalam persekitaran kerja hari ini, mereka perlu memahami teknologi, mampu mengurus perubahan dan mempunyai keyakinan untuk menjadi rakan strategik kepada pengurusan.
“AI pula bukan sesuatu yang perlu ditakuti. Sebaliknya, ia boleh dimanfaatkan sebagai alat untuk membantu setiausaha bekerja dengan lebih pantas, teratur dan produktif, di samping memberi lebih banyak ruang untuk mereka memberi fokus kepada komunikasi, penyelesaian masalah dan tugasan yang memerlukan pertimbangan manusia,” katanya dalam kenyataan.

Perkara itu ditekankan dalam Seminar Raikan Setiausaha 2026 yang berlangsung di Bangi Resort Hotel dengan penyertaan lebih 150 peserta daripada kementerian, jabatan kerajaan, badan berkanun, pihak berkuasa tempatan, institusi pengajian tinggi dan sektor korporat.
Antara pengisian utama seminar ialah Interactive Executive Talk Show bertajuk ‘Beyond the Desk: Mendepani Cabaran, Memacu Perubahan’ yang menampilkan Ustaz Mohd Elyas Ismail dengan Amin Idris sebagai moderator, selain sesi ‘Setiausaha Era AI: Bekerja Lebih Pintar, Bukan Lebih Keras’ bersama Coach Khairul.
Menurut Mohd Shegy, tema ‘Beyond the Desk’ dipilih bagi menggambarkan perubahan landskap kerjaya setiausaha yang kini memerlukan keupayaan lebih luas daripada sekadar mengurus jadual, dokumen dan komunikasi.
“Setiausaha hari ini perlu melihat diri mereka sebagai individu yang mampu menyumbang kepada organisasi. Mereka perlu memahami keperluan pengurusan, mempunyai kemahiran komunikasi yang baik, cekap menggunakan teknologi dan bersedia mengambil peranan yang lebih besar apabila diperlukan,” katanya.
Sesi berkaitan AI dan teknologi digital turut memberi pendedahan kepada peserta mengenai kaedah menggunakan teknologi untuk meningkatkan produktiviti serta kecekapan tugasan harian, selain menyediakan ruang interaksi dan soal jawab berdasarkan cabaran sebenar golongan profesional pentadbiran.
Mohd Shegy berkata, pembangunan profesional berterusan dalam kalangan setiausaha perlu dilihat sebagai pelaburan kepada organisasi kerana peranan mereka berkait rapat dengan kelancaran operasi, komunikasi dan sokongan kepada pihak pengurusan.
“Kita berharap peserta bukan sahaja pulang dengan pengetahuan baharu, tetapi turut membawa perubahan kepada cara mereka melihat peranan sendiri. Mereka perlu keluar daripada zon selesa dan melihat bahawa peranan mereka boleh pergi jauh lebih daripada sekadar ‘beyond the desk’,” katanya-UTUSAN
The post Revenue Discovery anjur Seminar Raikan Setiausaha 2026, fokus penguasaan AI appeared first on Utusan Malaysia.



