
PETALING JAYA – Revenue IF Berhad (Revenue), sebuah kumpulan teknologi pembayaran Malaysia yang disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia, telah menandatangani perjanjian rangka kerja dengan Assets Singularity Technology Holding Limited (ATT), sebuah syarikat infrastruktur aset digital yang berpangkalan di Beijing dan Hong Kong.
Perjanjian ini bertujuan untuk meneruskan perkembangan Revenue sebagai penyedia penyelesaian pembayaran menyeluruh dengan jangkauan global yang semakin meluas dan menjadi asas kepada kerjasama strategik merangkumi pelbagai projek di pasaran yang mempunyai kehadiran ATT.
Sehubungan itu, Revenue akan memperoleh akses kepada institusi sektor awam, institusi kewangan dan perusahaan dalam rangkaian ATT.
Pengarah Eksekutif Revenue, Teh Chee Hoe berkata, selama lebih dua dekad, syarikat dikenali sebagai pemeroleh pedagang (merchant acquirer) yang menyediakan terminal pembayaran di kaunter serta memproses pembayaran untuk bank dan pedagang.
Kini, kami merupakan kumpulan teknologi pembayaran bersepadu yang menawarkan penyelesaian pembayaran menyeluruh merentasi ekosistem pembayaran.
“Kami kini merancang untuk menyokong bank, institusi kewangan dan pedagang dalam penerbitan kad serta pemprosesan bagi pihak penerbit kad, keselamatan pembayaran dan identiti digital, di samping perniagaan pemerolehan dan pemprosesan sedia ada serta penyelesaian bersepadu yang telah kami bangunkan sejak 2003,” katanya dalam kenyataan.
Selain itu, melalui kerjasama tersebut, Kumpulan berhasrat menyediakan penyelesaian pembayaran menyeluruh merentasi ekosistem pembayaran, termasuk keselamatan pembayaran dan identiti digital, pemerolehan pedagang (merchant acquiring), pemprosesan transaksi, penjelasan dan penyelesaian transaksi, serta pembayaran rentas sempadan.
Dalam pada itu, Revenue dan ATT merancang untuk meneroka kerjasama dalam projek penerbitan bon renminbi (RMB) di luar negara.
“Melalui model operasi bersama, ATT akan memanfaatkan lesen pembayaran Revenue di Malaysia, berserta penyelesaian dan infrastruktur pembayaran Revenue, dengan tumpuan kepada perkhidmatan pembayaran tempatan dan integrasi sistem pembayaran rentas sempadan.
Revenue akan menyediakan perkhidmatan kutipan tempatan, pembayaran, pengagihan dana dan penyelesaian rentas sempadan bagi projek-projek ini, termasuk langganan bon, pembayaran kupon dan penebusan bon.
Sementara itu, ATT akan menyediakan infrastruktur aset digitalnya bagi tujuan pendaftaran aset ke dalam sistem, penerbitan dan perdagangan yang mematuhi keperluan kawal selia,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE
The post Revenue jalin usaha sama dengan ATT, syarikat aset digital dari Hong Kong appeared first on Kosmo Online.





