Revolusi Dua-Roda Asia: CFMOTO naik ke MotoGP?

12 Nov 2025 • 9:27 AM MYT
TW Media
TW Media

Gedung Info Permotoran

image is not available

Selepas menjuarai Kejuaraan Dunia Moto3 2024 bersama pelumba sensasi David Alonso dan pasukan Aspar menggunakan jentera KTM RC4, nama CFMOTO kini menjadi tumpuan besar di paddock antarabangsa. Sumber daripada Eropah melaporkan bahawa gergasi automotif China itu sedang berunding untuk mengambil alih keseluruhan projek MotoGP KTM bermula musim 2026, satu langkah berani yang bakal membuka era baharu dominasi Asia dalam sukan dua roda paling berprestij dunia.

Krisis kewangan yang melanda KTM sejak penghujung 2024 menjadi punca utama kepada perkembangan ini. Syarikat induk dari India, Bajaj Auto, dilaporkan mahu mengurangkan perbelanjaan sehingga 50 peratus, termasuk kos melibatkan perlumbaan yang kini menelan hampir 60 juta Euro setahun. Keputusan ini memberi kesan langsung kepada semua cabang perlumbaan KTM, dari MotoGP hingga ke Dakar Rally dan menyebabkan lebih 3,000 pekerja berdepan ketidaktentuan masa depan. Dalam keadaan terdesak, KTM dilihat terbuka kepada pelabur baharu dan CFMOTO muncul sebagai calon paling serius untuk menyuntik modal serta mengambil alih bahagian perlumbaan KTM (Racing Division).

Menurut laporan media antarabangsa, delegasi rasmi CFMOTO telah mengadakan rundingan tertutup dengan Ketua Pegawai Eksekutif KTM Racing, Gottfried Neumeister, di Munderfing bagi membincangkan kerjasama strategik jangka panjang. Sasaran utama adalah untuk menjadikan CFMOTO sebagai pengeluar rasmi dalam MotoGP menjelang 2027, dengan dua tempat pasukan kilang (Factory) yang kini diisi oleh Brad Binder dan Pedro Acosta. CFMOTO dijangka menggunakan asas jentera KTM sedia ada dengan enjin baharu V4 850cc yang kini sedang diuji di Austria.

Untuk rekod, CFMOTO bukanlah nama kecil dalam industri ini. Dengan lebih 9,000 pekerja, 7,000 pengedar di 100 negara, serta kilang di China, Thailand dan Mexico, jenama ini sudah membina reputasi kukuh dalam pasaran global. Tahun 2024 menyaksikan mereka mencatatkan hasil jualan melebihi USD2.1 bilion, meningkat hampir 30 peratus berbanding tahun sebelumnya. Kejayaan bersama pasukan Aspar di Moto3 turut membuktikan kemampuan mereka membina jentera kompetitif di pentas dunia. Di pameran EICMA baru-baru ini, CFMOTO turut mencuri perhatian apabila memperkenalkan superbike SR-RR V4 dengan kuasa mencecah 210hp, isyarat jelas bahawa mereka bersedia untuk naik ke tahap tertinggi perlumbaan dunia.

Bagi KTM pula, masa depan kelihatan semakin mencabar. Selain tekanan kewangan, pasukan satelit Tech3 telah disahkan akan dijual kepada bekas pengurus pasukan Formula 1, Gunther Steiner, menjelang 2026. Dengan penstrukturan semula besar-besaran dan pengurangan bajet oleh Bajaj, penganalisis percaya langkah CFMOTO ini bukan sekadar peluang pelaburan, tetapi juga penyelamat kepada legasi perlumbaan Austria yang sudah hampir dua dekad bersaing dalam MotoGP.

Dorna Sports selaku penganjur siri kejuaraan dilaporkan bersikap terbuka terhadap kemasukan pengeluar dari China, memandangkan pasaran Asia kini menjadi fokus utama pengembangan sukan tersebut. Jika rundingan ini berjaya, ia bakal menjadi detik bersejarah apabila kali pertama pengeluar China menembusi kategori premier dunia. Bagi rantau Asia Tenggara termasuk Malaysia, perkembangan ini memberi harapan baharu bahawa pusat graviti dunia permotoran sedang beralih ke Timur, membuka peluang lebih luas kepada pelumba, jurutera, dan pasukan media untuk menjadi sebahagian daripada kebangkitan besar dua roda Asia.

Teruskan bersama Two Wheels..!

The post Revolusi Dua-Roda Asia: CFMOTO naik ke MotoGP? appeared first on TW Media.

View Original Article