KUALA LUMPUR - Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad (Takaful Malaysia) meraikan dua pemenang hadiah utama kempen Mini Worries, Great Prizes yang masing-masing membawa pulang kenderaan elektrik (EV) BYD Atto 3 Ultra.
Dua pemenang terbabit, Muhamad Norimin Muhamad, 47, dari Shah Alam dan Selamat Md Din, 58, dari Temerloh, dipilih sebagai pemenang utama sempena ulang tahun kedua platform digital Kaotim.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia, Nor Azman Zainal berkata, sambutan menggalakkan daripada pelanggan membuktikan keberkesanan pendekatan digital yang diperkenalkan.
Beliau berkata, konsep dua pemenang yang diketengahkan berjaya mengekalkan keterujaan sepanjang tempoh kempen, sekali gus meningkatkan pengalaman pelanggan.
“Sambutan hari ini bukan sekadar meraikan pemenang hadiah utama, tetapi juga sebagai tanda penghargaan terhadap kepercayaan dan sokongan yang diberikan oleh para pelanggan kami.
"Kami amat gembira dapat berkongsi detik istimewa ini bersama Muhamad Norimin dan Selamat, serta berharap dapat terus mencipta lebih banyak pengalaman bermakna menerusi Kaotim,” ujarnya pada majlis penyampaian hadiah di BYD TREC Kuala Lumpur di sini pada Khamis.
Hadir sama, Ketua Pegawai Transformasi Kumpulan Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad, Datuk Ts. Tengku Intan Narqiah Tengku Othman.
Selamat ketika ditemui Sinar Harian menyifatkan kemenangan itu sebagai kejutan terbesar dalam hidupnya, apatah lagi pengumuman dibuat pada bulan kelahirannya.
“Saya lahir pada 6 April, jadi ini hadiah hari jadi paling bermakna buat saya,” katanya yang bertugas sebagai penyelia di sebuah syarikat swasta.
Beliau berkata, penyertaan dalam kempen itu dibuat menerusi langganan produk Takaful Hibah dan kad perubatan bersama dengan 40 kakitangannya.
Pada mulanya, ujarnya, beliau tidak percaya apabila dihubungi wakil Takaful Malaysia cawangan Temerloh, namun keyakinan timbul selepas pengesahan dibuat di pejabat.
Sementara itu, Muhamad Norimin mengakui pada awalnya berasa sangsi dan menyangka panggilan diterima adalah cubaan penipuan.
Beliau berkata, selepas membuat semakan semula dengan pasukan Kaotim dan disahkan sebagai pemenang, barulah timbul rasa teruja serta syukur.
Menurutnya, beliau menyertai kempen itu melalui langganan pelan kad perubatan booster untuk tiga anaknya menerusi platform Kaotim yang disifatkan pantas dan mudah.
Kempen yang berlangsung dari 15 Oktober 2025 hingga 15 Januari 2026 itu turut menawarkan pelbagai ganjaran bulanan, termasuk dua jongkong emas pada Oktober, dua unit iPhone pada November serta dua e-baucar Touch ‘n Go bernilai RM5,000 pada Disember.
Takaful Malaysia yang memiliki aset bernilai RM18.1 bilion kekal komited memperluas akses perlindungan kepada rakyat melalui inovasi digital Kaotim yang lebih interaktif dan mesra pengguna.






