
Rezeki tidak terduga. Itulah yang boleh diperkatakan apabila terlihat kelibat ikan layaran melakukan lompatan di permukaan air berserta aksi akrobatiknya yang memukau tatkala cuba melawan daya tarikan tali pancing.
Tiada siapa sangka, niat untuk memeriksa umpan yang telah dibiarkan lama berada di dasar laut bagi teknik pemancingan bottom drift pada kedalaman 90 meter, akhirnya mendapat sambaran ikan layaran.
Sambaran itu berlaku di perairan arah Barat Daya Pulau Pinang dengan jarak 50 batu nautika dari Jeti Nibong Tebal.
Suasana sunyi di atas bot terus gamat dengan sorakan lima pemancing termasuk tekong sebaik sahaja melihat aksi akrobatik ikan layaran.
Ini memandangkan, agak sukar menemui spesies ikan yang terkenal dengan kelajuan renangan itu di perairan Pulau Pinang.
Menurut pemancing berpengalaman, Suhaimi Hasan, jorannya menerima sambaran ikan layaran sewaktu menaikkan umpan yang dipasang untuk pemburuan ikan demersal seperti kerapu dan jenahak di kawasan dasar berstruktur.
Katanya, pada peringkat awal, dia hanya ingin memeriksa umpan ikan sardin hidup yang telah dipasang dan ditinggalkan lama kerana dikhuatiri telah mati sehingga menjejaskan persembahan di dalam air pada kedalaman 90 meter.
“Selepas 15 minit umpan dibiarkan, saya melakukan karauan semula untuk periksa kerana ikan pemangsa seperti kerapu dan jenahak memilih umpan ikan hidup serta segar sahaja.
“Ketika umpan hampir tiba dalam anggaran 25 meter, joran terus menerima sambaran tetapi tidak terlalu kuat. Saya sangkakan, tali berselirat dengan pancing rakan lain.
“Selepas beberapa saat, joran saya terus ditekan kuat sehingga bahagian hujungnya direjam di dalam air, sebelum terlihat aksi akrobatik ikan layaran yang telah melarikan umpan saya di bahagian sisi kanan bot.
“Ia sangat berisiko kerana tali joran telah melepasi bawah bot disebabkan joran berada di bahagian kiri. Jadi, kepakaran mengawal larian ikan sangat penting untuk mengelak tali bergeser terlalu lama,” katanya ketika ditemu bual K-Variasi baru-baru ini.

Ikan layaran tergolong dalam spesies ikan billfish iaitu ikan yang bermuncung panjang atau berparuh dan satu keluarga dengan ikan mersuji (marlin) serta ikan pedang (sword fish).
Fizikal badannya memiliki sirip dorsal seperti layar kapal berwarna hitam kebiruan, selain turut mempunyai sirip layar paruh dan lawi.
Layaran 25kg tewas
Bercerita lanjut, Suhaimi memberitahu, selepas hampir 15 minit pertarungan, akhirnya ikan layaran tersebut berjaya didaratkan dengan hasil bantuan tekong Khairul Nua bagi mengendalikan ikan seberat 25 kilogram (kg) berkenaan naik ke atas bot dengan selamat.
Katanya, memandangkan ikan layaran merupakan spesies buruan dalam sukan memancing yang sukar ditemui dan spesies terlindung, maka ikan yang berjaya dipancing dilepaskan semula selepas sesi bergambar.
“Ikan layaran perlu dikendalikan dengan baik kerana paruhnya tajam dan kasar seperti kertas pasir yang boleh mendatangkan risiko kecederaan kepada sesiapa sahaja.
“Walaupun ikan layaran agresif dan bertenaga dari segi renangannya, tetapi ia akan kalah ketika berada di darat dan lebih mudah mati jika dibandingkan dengan ikan-ikan lain.
“Sebaik sahaja naik di atas bot, tekong menasihatkan kami bergambar dengan kadar segera, sebelum melepaskan ia kembali supaya ikan masih bertenaga.
“Ini secara tidak langsung membolehkan ikan kembali ke habitat asal dengan selamat bagi memastikan kesinambungan aktiviti sukan memancing ikan layaran boleh diteruskan oleh generasi akan datang,” jelasnya.
Meskipun ikan layaran lebih terkenal dengan teknik fast jigging dan trolling, namun spesies ini turut gemar berlegar di spot terumbu karang untuk memburu ikan juvenil yang merupakan salah satu diet utamanya di bahagian dasar.
Selain ikan layaran, beberapa spesies lain turut berjaya didaratkan dalam trip memancing seharian tersebut seperti ikan kerapu, jenahak dan kerisi.
Peralatan memancing
Suhaimi memberitahu, pemilihan peralatan kelas pertengahan sehingga kasar lebih diberikan keutamaan memandangkan teknik bottom drift yang dipraktikkannya menggunakan batu ladung seberat 250 gram sehingga 300 gram.
Tambahnya, rakan-rakan lain dalam trip sama memilih menggunakan kekili jenis elektrik kerana bebanan pemberat yang berlebihan akan meletihkan pemancing.
Hal ini kerana, teknik pemancingan yang digunakan memerlukan tali dikarau dengan lebih kerap untuk memeriksa keadaan semasa atau kualiti umpan hidup.
“Bagi menjimatkan tenaga, saya memilih kekili elektrik Daiwa Seaborg G300JL yang dipadankan bersama joran Bossna BS Monster Red Power berkekuatan PE3-5.
“Sementara tali utama adalah Duel Hardcore X8 bersaiz PE3 dan dipasangkan dengan tali perambut Yozuri Topknot 100% Fluorocarbon berkekuatan 80LB untuk mengikat mata kail The Anglar Kairyo SOI saiz 20.
“Untuk bateri kekili, saya menggunakan Devil Craft Battle Force 4800mAH kerana lebih mudah dan kecil jika dibandingkan dengan penggunaan bateri kereta atau bateri lain yang lebih besar,” katanya.
Selain itu, peralatan memancing berkelas ringan dengan menggunakan kekili saiz 3000 dan joran PE0.8-2.0 juga dibawa bersama sebagai persediaan sekiranya menemui spot berpotensi untuk pemburuan ikan tenggiri dan gerepoh bagi teknik fast jigging.
Peralatan yang sama juga boleh digunakan untuk teknik pancingan apollo bagi mencari ikan sardin, selar dan tamban di sekitar unjam sebagai umpan utama pancingan dasar atau bottom drift.
The post Rezeki layaran Pulau Mutiara appeared first on Kosmo Online.
