RGT-3 dijangka tambah RM120 juta kepada keuntungan PETRONAS Gas menjelang FY2030 - Penganalisis

LocalBusiness & Finance
5 May 2026 • 2:42 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

RGT-3 dijangka tambah RM120 juta kepada keuntungan PETRONAS Gas menjelang FY2030 - Penganalisis Image from: RGT-3 dijangka tambah RM120 juta kepada keuntungan PETRONAS Gas menjelang FY2030 - Penganalisis hamden05/05/2026 - 14:42 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 5 Mei - Terminal regasifikasi ketiga (RGT-3) PETRONAS Gas Bhd (PGB) dianggarkan mampu menyumbang kira-kira RM120 juta keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATMI) menjelang tahun kewangan 2030, menurut CGS International.

 

Firma penyelidikan itu berkata, anggaran itu bersamaan sekitar 7% daripada PATMI FY2025, berdasarkan andaian PTG memegang 65% kepentingan dalam projek berkenaan, selaras dengan struktur RGT-2.

 

Sementara itu TA Securities pula berkata RGT-3 berpotensi menyumbang sekitar +4% setahun kepada PAT, sekiranya PGB memiliki pegangan 100% dalam projek tersebut, berasaskan andaian perbelanjaan modal sebanyak RM1.9 bilion, kadar pulangan dalaman (IRR) 10% serta tempoh konsesi selama 20 tahun.

 

Katanya, dari sudut penilaian, projek berkenaan dianggarkan mampu menambah sekitar 60 sen sesaham atau kira-kira +3% kepada penilaian jumlah bahagian (sum-of-parts), berdasarkan kos modal purata wajaran (WACC) 5.4%.

 

Bagaimanapun kedua-dua firma penyelidikan berkenaan mengakui kesan sebenar terhadap pendapatan dan penilaian bergantung kepada pegangan akhir syarikat dalam projek berkenaan. 

 

Anggaran Kos AS$750 juta

CGSI berkata, unjuran keuntungan yang dibuat firma itu berdasarkan senario jumlah kos pembangunan RGT-3 dianggarkan sekitar AS$750 juta, merangkumi kos unit terapung penyimpanan dan regasifikasi (FSRU) serta infrastruktur sokongan seperti kemudahan tambatan dan saluran paip.

 

FSRU tersebut akan dimiliki oleh MISC Bhd dan disewa kepada PTG pada kadar harian sekitar US$125,000, manakala infrastruktur daratan akan ditanggung oleh PTG.

 

Projek ini turut dijangka beroperasi di bawah rangka kerja tarif kawal selia (IBR) dengan kadar pulangan modal (WACC) sekitar 7.1%.

 

"Oleh itu berdasarkan model aliran tunai terdiskaun (DCF), RGT-3 dianggarkan menyumbang peningkatan nilai sekitar RM0.70 sesaham kepada PTG, dengan andaian WACC 7.3% dan kadar pertumbuhan jangka panjang (LTG) 1.5%.

 

"Sumbangan pendapatan hanya dijangka bermula selepas operasi komersial pada 2029, dengan kesan penuh kepada pendapatan pada FY2030," katanya.

 

CGSI Kekal “Hold” Dengan TP Baharu RM18.60

Walaupun prospek jangka panjang RGT-3 dilihat positif, CGSI mengekalkan saranan “Hold” ke atas PTG dengan harga sasaran (TP) baharu RM18.60.

 

Penilaian itu mencerminkan EV/EBITDA FY27F sebanyak 10.2 kali, nisbah harga kepada pendapatan (PER) 19.9 kali serta hasil dividen sekitar 3.9%.

 

Menurut CGSI, PTG kekal sebagai utiliti berkualiti tinggi dengan pendapatan stabil di bawah struktur kawal selia, namun pertumbuhan jangka pendek dilihat sederhana memandangkan sumbangan RGT-3 hanya dijangka bermula selepas 2030.

 

TA Securities Kekal 'Beli', TP Tidak Berubah

Sementara TA Securities mengekalkan saranan ‘Beli’ dengan harga sasaran tidak berubah RM20.32, berdasarkan kaedah sum-of-parts.

 

Penilaian tersebut mencerminkan nisbah harga kepada pendapatan (PER) hadapan sebanyak 21 kali bagi FY27F, hampir dengan purata sejarah 10 tahun syarikat pada 20 kali.

 

PGB turut dilihat sebagai antara proksi utama dalam peralihan tenaga daripada arang batu kepada gas, selain mendapat manfaat daripada permintaan elektrik yang meningkat dipacu pembangunan pusat data.

 

Selain itu, kumpulan ini kekal menarik daripada sudut dividen dengan hasil sekitar 4.5% hingga 4.7% sepanjang tempoh unjuran, disokong oleh kontrak jangka panjang yang stabil serta model perniagaan terkawal.

 

TA Securities menambah penganugerahan RGT3 bersama projek RGT Yan kepada Gas Malaysia Berhad dilihat mengukuhkan tesis pengembangan infrastruktur bekalan gas negara, sejajar dengan peningkatan kapasiti penjanaan elektrik berasaskan gas di Malaysia.

 

Perkembangan ini turut menyokong tema peralihan tenaga negara ke arah penggunaan gas asli sebagai bahan api utama dalam campuran tenaga, khususnya dalam memenuhi permintaan elektrik yang semakin meningkat.

 

PETRONAS Gas semalam mengumumkan syarikat itu telah menerima surat pemberitahuan daripada Kementerian Ekonomi bagi memulakan pelaksanaan projek RGT-3 berasaskan konsep Unit Penyimpanan dan Regasifikasi Terapung (FSRU) di Lumut Perak.

 

Menurut PGB, pembangunan RGT-3 merupakan hasil penilaian teknikal dan komersial yang dijalankan berdasarkan unjuran permintaan dan bekalan gas di Semenanjung Malaysia. - DagangNews.com

Terkini standard