hamden05/05/2026 - 09:50 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 5 Mei - Malaysia diunjur memerlukan pelaburan penyesuaian iklim yang besar mencecah antara AS$852 bilion hingga AS$1.13 trilion (sekitar RM4 trilion hingga RM5 trilion) menjelang 2050 bagi menangani risiko perubahan iklim yang semakin meningkat, menurut Bank Dunia.
Dalam Laporan Iklim dan Pembangunan Negara (CCDR), institusi itu berkata keperluan tersebut merangkumi usaha menaik taraf infrastruktur, memperkukuh sistem tindak balas bencana serta melindungi sektor ekonomi utama daripada kejutan iklim.
Bagi tempoh terdekat, Malaysia memerlukan sekitar AS$32.56 bilion (RM128.81 bilion) untuk langkah pengurangan risiko bencana dan peningkatan daya tahan, termasuk perancangan guna tanah yang lebih berkesan, piawaian bangunan lebih ketat serta pelaburan dalam infrastruktur tahan banjir.
Selain itu, keperluan pembiayaan turut tinggi dalam sektor kritikal lain, dengan AS$69.8 bilion diperlukan bagi infrastruktur bekalan air dan AS$33.5 bilion untuk sistem pengairan dalam tempoh 25 tahun akan datang.
“Risiko akibat kegagalan mengambil tindakan penyesuaian adalah besar, namun langkah proaktif boleh mengurangkan kesan ekonomi dan melindungi golongan paling terdedah,” menurut laporan itu.
Bank Dunia menegaskan perubahan iklim mendorong kepada kejadian cuaca ekstrem seperti banjir, gelombang haba dan kenaikan paras laut yang memberi tekanan kepada infrastruktur serta kestabilan ekonomi negara.
Risiko Banjir Meningkat
Banjir kekal sebagai bencana paling dominan di Malaysia, merangkumi 85% daripada keseluruhan kejadian sejak tahun 2000, dengan lebih satu pertiga kawasan bandar dijangka berisiko dilanda banjir kilat menjelang 2100.
Sehingga kini, lebih 5,496 kawasan panas banjir telah dikenal pasti di seluruh negara, manakala risiko banjir dijangka meningkat sekitar 15% di kebanyakan lembangan sungai menjelang akhir abad ini.
Ancaman kenaikan paras laut turut memberi kesan besar, khususnya kepada kawasan pesisir seperti Pelabuhan Klang, Pulau Pinang dan Johor, yang berisiko kehilangan tanah pertanian serta kawasan hutan paya bakau.
Dari sudut ekonomi, perubahan iklim berpotensi mengurangkan sehingga 8.3% Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menjelang 2050 dalam senario terburuk.
Pertanian Paling Terjejas
Sektor pertanian antara yang paling terkesan, dengan hasil tanaman dijangka merosot sehingga 6% akibat suhu meningkat dan taburan hujan tidak menentu, manakala tekanan haba boleh menurunkan output pertanian sehingga 18% menjelang pertengahan abad.
Sektor pelancongan juga dijangka terjejas, dengan pendapatan pelancongan antarabangsa berpotensi susut antara 12.2% hingga 21.3% menjelang 2040-an.
Laporan itu turut mendedahkan bahawa hujan lebat antara 2015 hingga 2024 telah mengurangkan hasil dan produktiviti firma sekitar 3% secara purata, bersamaan kira-kira AS$7 bilion (RM27.68 bilion) kerugian kepada ekonomi.
Firma kecil dan syarikat pemula niaga didapati paling terdedah, dengan impak sehingga lapan kali ganda lebih besar berbanding syarikat besar berikutan kekangan kewangan dan kapasiti daya tahan yang lebih rendah.
Dalam masa sama, perubahan iklim dijangka memperluas jurang ketidaksamaan apabila isi rumah berpendapatan rendah lebih terdedah kepada kejutan iklim serta mempunyai sumber terhad untuk pulih.
Dianggarkan sekitar 23% penduduk Malaysia kini terdedah kepada risiko iklim, dengan golongan berpendapatan rendah berdepan kesan jangka panjang yang lebih ketara.
Langkah Penyesuaian
Namun, Bank Dunia berpandangan langkah penyesuaian proaktif termasuk penggunaan penyelesaian berasaskan alam semula jadi, pembangunan infrastruktur tahan iklim serta sistem pengurusan bencana yang lebih cekap mampu mengimbangi sehingga separuh daripada kerugian ekonomi yang dijangka.
Walaupun begitu, cabaran seperti kekangan pembiayaan, tadbir urus yang berpecah serta kelemahan penyelarasan antara agensi dikenal pasti sebagai halangan utama dalam mempercepat usaha memperkukuh daya tahan iklim negara. - DagangNews.com



