
RHB Bank mengumumkan bahawa ia bank pertama di Malaysia yang membolehkan peniaga menerima DuitNow Pay untuk pembayaran dalam talian dan pembayaran berulang, melalui gerbang pembayaran RHB Pay.
Secara ringkasnya, DuitNow Pay boleh dianggap sebagai evolusi kepada FPX yang menawarkan proses pembayaran dalam talian lebih mudah dan lancar menerusi aplikasi perbankan mudah alih serta e-dompet yang mengambil bahagian. Berbanding kaedah FPX biasa yang memerlukan pengguna memilih bank, log masuk dan mengesahkan transaksi setiap kali membuat pembelian, DuitNow Pay membolehkan pengguna menyimpan akaun pembayaran pilihan untuk proses pembayaran lebih pantas pada transaksi seterusnya.
Lebih menarik, DuitNow Pay turut menyokong pembayaran berulang, yang membolehkan pelanggan membenarkan kutipan automatik untuk langganan, keahlian dan bil bulanan.
RHB Pay kini menyokong pembayaran DuitNow Pay secara berulang
RHB Pay diperkenalkan pada Ogos 2026 sebagai gerbang pembayaran dalam talian bersepadu milik RHB Bank. Pada peringkat awal, ia menyokong pembayaran kad, FPX dan DuitNow Pay.
Ketika pelancarannya, RHB ada menyatakan perancangan mereka untuk menambah lebih banyak kaedah pembayaran termasuk e-dompet, pembayaran QR, Direct Debit dan AutoDebit, dalam fasa kedua yang disasarkan pada suku keempat 2026.
Menerusi pengumuman terbaharu ini, RHB berkata ia membolehkan peniaga menerima pembayaran dalam talian dan pembayaran berulang melalui DuitNow Pay di platform RHB Pay. Peniaga kini hanya perlukan satu integrasi sahaja untuk menerima bayaran, di mana semua kutipan akan dimasukkan terus ke dalam akaun RHB mereka.
RHB Pay turut menawarkan penyelesaian transaksi masa nyata dan penyelarasan rekod pembayaran secara automatik bagi memudahkan perniagaan memantau pembayaran yang diterima.
Pengarah Urusan Perbankan Borong Kumpulan RHB Bank Berhad, Datuk Nurjesmi Mohd Nashir berkata, “Pilihan pembayaran dan standard industri akan sentiasa berubah, tetapi perniagaan tidak sepatutnya terpaksa merombak sistem kutipan mereka berulang kali semata-mata untuk kekal relevan.”
Tambah beliau, “Dengan menyokong DuitNow Pay menerusi RHB Pay, kami memberi jalan mudah untuk peniaga menerima keupayaan pembayaran baharu dengan hanya menggunakan platform sama yang mereka guna sekarang. Ini bermakna, perniagaan boleh bertindak lebih pantas memenuhi kehendak pelanggan, mengurangkan kerumitan integrasi, dan lebih bersedia untuk memanfaatkan penambahbaikan ekosistem pembayaran digital Malaysia pada masa depan.”
Sementara itu, Ketua Pegawai Komersial PayNet, Azrul Fakhzan B. Mainor berkata, “Memperluaskan penerimaan DuitNow Pay menerusi platform perbankan sedia ada adalah langkah penting untuk mempercepatkan lagi penggunaan pembayaran digital saling boleh kendali (interoperable) di Malaysia. Dengan menyokong bayaran dalam talian dan berulang menerusi RHB Pay, kami memudahkan perniagaan menerima fungsi pembayaran baharu sambil memberi lebih pilihan dan kemudahan kepada pengguna. Kerjasama ini membuktikan betapa pentingnya jalinan kerjasama industri dalam meluaskan infrastruktur pembayaran bersama, seterusnya memperkukuh ekosistem pembayaran digital negara.”
Walaupun RHB bank pertama yang menawarkan keupayaan ini melalui gerbang pembayarannya sendiri, penyedia pembayaran bukan bank seperti Razorpay Curlec sudah memperkenalkan penerimaan DuitNow Pay untuk pembelian dalam talian.
Bagaimana DuitNow Pay memberi manfaat kepada pelanggan dan peniaga?

Dengan pembayaran FPX biasa, pelanggan lazimnya perlu memilih bank mereka dahulu, kemudian dialihkan ke antara muka perbankan internet bank itu untuk log masuk dan membenarkan transaksi.
DuitNow Pay menawarkan proses pembayaran yang lebih ringkas menerusi DuitNow Online Banking/Wallets (DOBW). Pelanggan juga boleh menyimpan akaun pembayaran pilihan untuk pembayaran yang lebih pantas pada pembelian seterusnya tanpa perlu log masuk ke bank berulang kali. Namun, pembayaran pertama mungkin masih memerlukan pengesahan di aplikasi perbankan masing-masing.
Untuk pembayaran berulang, DuitNow AutoDebit (DNAD) membolehkan pelanggan memberi persetujuan sekali sahaja supaya peniaga mengutip bayaran secara automatik mengikut terma yang dipersetujui. Ia berguna untuk langganan, keahlian gim dan bil bulanan.
Bagi peniaga, ini bermakna proses pembayaran yang lebih mudah untuk pelanggan yang kembali, serta mengurangkan kerja manual bagi mengurus kutipan bayaran berulang.
Selain itu, RHB turut menyokong DuitNow Request, yang membolehkan perniagaan menghantar permintaan pembayaran invois melalui aplikasi perbankan yang mengambil bahagian.
Perniagaan yang berminat menggunakan DuitNow Pay melalui RHB Pay boleh melayari laman web rasmi RHB untuk maklumat lanjut.






