RHB Investment kekal saranan ‘overweight’ bagi sektor minyak dan gas, langkah OPEC+ kurangkan pengeluaran minyak beri kesan minimum

Business & Finance
6 Jun 2023 • 11:35 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

RHB Investment kekal saranan ‘overweight’ bagi sektor minyak dan gas, langkah OPEC+ kurangkan pengeluaran minyak beri kesan minimum

diyana

06/06/2023 - 11:35

KUALA LUMPUR 6 Jun - RHB Investment mengekalkan saranan ‘overweight’ terhadap sektor minyak dan gas, walaupun Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+) telah melanjutkan pengurangan pengeluaran sehingga 2024.

Sementara hasil mesyuarat itu mengulangi komitmen OPEC+ untuk menyokong dan menyediakan kestabilan ke arah pasaran minyak, firma penyelidikan itu secara relatifnya ‘neutral’ memandangkan terdapat kesan minimum kepada pasaran minyak.

“Menurut OPEC, pengeluaran OPEC 10 adalah 24.1 juta tong sehari (mbpd), sudah di bawah pengeluaran yang diperlukan iaitu 25 mbpd.

“Tambahan pula, sebut harga tambahan dilakukan pada April nampaknya tidak diteruskan pada 2024 namun telah digantikan dengan pelarasan yang disebut sebelum ini,” kata firma itu dalam nota hari ini.

Oleh itu, firma itu berpendapat bahawa kesan pemotongan pengeluaran bersih tahun ke tahun (YoY) oleh OPEC pada 2024 adalah tidak penting dan mereka percaya pasaran mungkin tidak terlalu teruja dengan perkara ini.

Menurut firma itu, pengurangan pengeluaran minyak Arab Saudi sebanyak 1 mbpd pada Julai tidak disebut akan dikekalkan sehingga akhir tahun ini berikutan tahap pengeluaran yang diumumkan secara rasmi pada 2024 tidak mengambil kira pemotongan sedemikian.

Firma itu turut mengekalkan ramalan harga minyaknya pada AS$85 setong, AS$80 setong dan AS$80 setong masing-masing bagi 2023, 2024 dan 2025.

“Harga minyak agak lemah berikutan prospek ekonomi tidak menentu termasuk data China yang lemah dan kebimbangan siling hutang Amerika Syarikat, serta pengukuhan dolar AS.

“Walaupun harga Brent telah berada pada purata di bawah unjuran AS$85 setong pada suku kedua 2023 (2Q23), yang boleh memberikan sedikit risiko penurunan kepada unjuran tahun penuh kami, kami masih menjangkakan pasaran minyak bertambah baik pada separuh kedua 2023 (2H2023)," jelasnya.

Merujuk laporan bulanan OPEC bagi Mei, RHB Investment menyatakan bahawa permintaan minyak masih diunjurkan meningkat sebanyak 2.3 mbpd kepada 101.9 mbpd pada 2023.

"Walaupun masih terdapat risiko untuk jumlah sedemikian dikurangkan, kami berpendapat bahawa pengaruh OPEC+ kekal kukuh dan strateginya untuk melindungi pasaran minyak, melalui pemotongan pengeluaran, masih utuh," tambahnya.

Kaunter pilihan utama RHB Investment adalah Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Bhd, Yinson Holdings Bhd, PTT Exploration and Production Pcl, dan PTT Oil and Retail Business Pcl. -DagangNews.com