RHB Investment naikkan 16% TP Duopharma, sifatkan permata kurang dihargai

Business & Finance
10 Jun 2024 • 9:39 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

RHB Investment naikkan 16% TP Duopharma, sifatkan permata kurang dihargai

herman

10/06/2024 - 09:39

KUALA LUMPUR 10 Jun - RHB Investment Bank menyifatkan saham Duopharma Biotech Berhad sebagai permata yang kurang dihargai dalam ruang penjagaan kesihatan.

Sehubungan itu, firma penyeldikan itu menaikkan harga sasaran (TP) Duopharma sebanyak 16% kepada RM1.44 sesaham dengan mengekalkan saranan Beli.

"Duopharma kini didagangkan pada 0.2 SD di bawah minimum sejarah 5 tahun sebanyak 17x, yang kami anggap tidak wajar memandangkan profil margin yang lebih baik daripada pesaing dan peruntukan belanjawan yang lebih tinggi (daripada kerajaan) untuk sektor penjagaan kesihatan.

"Syarikat farmaseutikal itu juga mempunyai kelebihan dalam trend masyarakat menua yang semakin bertambah," katanya dalam nota penytelidikan hari ini.

RHB Investment berkata, pihaknya meramalkan Duopharma bakal mengalami pertumbuhan pendapatan yang stabil, bergantung kepada pemulihan jualan penjagaan kesihatan pengguna (CHC) dan pembaruan terkini senarai pembelian produk yang diluluskan (APPL).

Dalam taklimat pengurusan baru-baru ini, firma penyelidikan itu berkata, Duopharma memaklumkan telah mencatatkan peningkatan yang memberangsangkan dalam segmen jualan tempatan iaitu pertambahan 8% bagi perbandingan suku tahun ke suku tahun (QoQ).

Katanya, ini menunjukkan permintaan pengguna yang lembap terhadap produk kesihatan pengguna telah berlalu dengan mencapai tahap terendahnya sebelum ini.

"Pada masa akan datang, kumpulan tersebut menjangkakan pertumbuhan segmen produk kesihatan pengguna akan dipacu terutamanya oleh produk analgesik (contohnya ubat penahan sakit) serta pengembangan serantau untuk meningkatkan jualan vitamin C (contohnya Flavettes, Champs, dan Proviton).

"Duopharma juga berhasrat untuk mengembangkan rangkaian penawaran produk penjagaan kesihatan untuk mengurangkan pergantungan pada jualan vitamin C," katanya.

Kata firma itu, Kumpulan itu juga telah menubuhkan pejabat serantau di Indonesia, dengan anak syarikat sepenuhnya yang ditubuhkan pada April 2023 sekali gus meluaskan jejak serantau ke negara ketiga selepas Singapura dan Filipina.

"Objektif segera Duopharma adalah untuk menyediakan produk dos oral pepejal yang dikeluarkan secara kontrak (OSD) kepada pasaran Indonesia," ujarnya. - DagangNews.com