RHB Investment turunkan unjuran pendapatan FY24-FY26 KLK sehingga 22% kesan kerugian syarikat bersekutu
azan
21/05/2024 - 09:21
KUALA LUMPUR 21 Mei - RHB Investment menurunkan unjuran pendapatan FY24-FY26 Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK) antara 12% hingga 22% selepas membuat pelarasan kerugian syarikat bersekutu dan cukai berkesan yang lebih tinggi serta pelaburan lebih rendah.
Katanya, untung bersih teras 1HFY24 kumpulan berada di bawah anggaran dan consensus antara 29% hingga 3% berbanding unjuran pada FY24.
Firma penyelidikan itu berkata, ia disebabkan kerugian syarikat bersekutu yang tidak dijangka sebanyak RM84 juta (kebanyakannya disebabkan oleh kerugian Synthomer Sdn Bhd), pendapatan pelaburan yang lebih rendah daripada jangkaan dan kadar cukai berkesan yang lebih tinggi daripada jangkaan sebanyak 30% pada 1HFY24.
"Bagaimanapun, hasil Synthomer dijangka bertambah baik pada 2HFY24 selepas mengambil kira hutang bersih yang lebih rendah dan penyelarasan operasi," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, pendapatan 2QFY24 kupulan itu juga merosot 9.8% kepada RM5.45 billion daripada RM6.05 bilion setahun sebelumnya.
Tahun lalu, KLK mencatat keuntungan one-off sebanyak RM72.9 juta daripada pelepasan perniagaan bahan kimia di Eropah.
RHB Investment berkata, pendapatan kumpulan seharusnya bertambah baik pada 2HFY24 didorong pengeluaran buah tandan segar (BTS) yang lebih baik dan pendapatan hiliran, manakala keuntungan syarikat bersekutu dijangka lebih baik.
Katanya, segmen hiliran mencatatkan kenaikan dari suku tahun ke suku tahun dengan peningkatan margin kepada 1.9% pada 1QFY24 (berbanding 1.3% dalam 1QFY23).
"Walaupun segmen oleokimia masih mengalami kerugian di Eropah, terdapat peningkatan dalam jumlah jualan, manakala kos tenaga yang lebih rendah serta pengurangan kapasiti oleo baru-baru ini di Eropah sepatutnya menghasilkan peningkatan berterusan pada suku akan datang," katanya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM24.70 sesaham. - DagangNews.com


