amree30/07/2026 - 11:40 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 30 Julai — Penilaian saham sektor perladangan ketika ini masih belum mencerminkan sepenuhnya prospek kenaikan harga minyak sawit mentah (MSM) disebabkan kesan fenomena El Nino.
Menurut analisis RHB Research, situasi semasa itu membuka ruang peningkatan nilai kepada pelabur dalam tempoh akan datang, berikutan kebarangkalian tinggi berlaku El Nino yang kuat menjelang akhir 2026.
Keadaan itu menyokong harga MSM, namun kebanyakan saham syarikat perladangan masih pada penilaian rendah kerana pasaran belum mengambil kira sepenuhnya potensi harga komoditi yang lebih tinggi.
"Justeru, kami masih mengekalkan penarafan 'overweight' susulan jangkaan harga MSM kukuh serta penambahbaikan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) syarikat di bawah liputan," jelasnya.
RHB Research menaikkan unjuran purata harga MSM bagi 2027 kepada RM4,500 satu tan daripada RM4,300 sebelum ini, manakala unjuran 2028 dinaikkan kepada RM4,400, berikutan kemungkinan El Nino kuat.
Menurutnya, walaupun unjuran dinaikkan sederhana, pendekatan itu dibuat berhati-hati memandangkan kekuatan sebenar belum dipastikan, dengan banyak model menjangkakan impak ketara bermula Oktober.

Bagi 2026, ia mengekalkan unjuran RM4,400 satu tan, sejajar dengan purata harga semasa tahun ini sebanyak RM4,366, manakala harga pasaran kini berada dalam lingkungan RM4,600 hingga RM4,700.
"Dalam semakan ESG tahunan, kami mendapati skor purata meningkat kepada 2.8 berbanding 2.7 pada 2025, didorong oleh peningkatan prestasi komponen alam sekitar atau 'E'," tambah RHB Research.
Peningkatan itu dipacu oleh pengurangan intensiti pelepasan gas rumah hijau (GHG), penambahbaikan rantaian bekalan serta pematuhan lebih luas ke atas pensijilan kemampanan dalam kalangan syarikat.
Bagaimanapun, skor komponen sosial ('S') dan tadbir urus ('G') masing-masing kekal 2.5 dan 2.8, meskipun terdapat sedikit kemajuan dari segi kepelbagaian gender serta kebebasan ahli lembaga pengarah.
Ujar RHB Research, pihaknya akan memasukkan unjuran harga MSM baharu serta perubahan skor ESG ke dalam model unjuran kewangan semasa ketika musim pengumuman keputusan kewangan syarikat kelak.
"Kami berpandangan saham-saham sektor perladangan masih menawarkan nilai menarik kerana penilaian semasa belum mencerminkan sepenuhnya prospek harga MSM yang lebih tinggi," katanya lagi.
Oleh itu, ia terus mengekalkan pilihan utamanya iaitu Johor Plantations, Sarawak Oil Palms, IOI Corporation, Hap Seng Plantations, SD Guthrie, Triputra Agro Persada dan First Resources. - DagangNews.com


