Ribut Tropika Senyar bermula tengah malam ini, negeri banjir hadapi situasi kritikal

LocalEnvironment
27 Nov 2025 • 10:32 PM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

image is not available

KUALA LUMPUR – Negeri-negeri yang kini sedang berdepan banjir dijangka mengalami situasi lebih kritikal apabila ribut tropika Senyar dijangka memasuki Semenanjung Malaysia tengah malam ini, membawa hujan lebat luar biasa dan angin kencang.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip, berkata antara negeri yang dijangka menerima kesan ketara ribut berkenaan ialah kawasan sempadan Perak dan Selangor, serta beberapa kawasan di Pahang.

Ribut tropika tersebut telah melanda Indonesia sejak pukul 3.30 petang tadi sebelum dijangka memasuki Semenanjung Malaysia dan seterusnya bergerak ke Laut China Selatan.

“Ia dijangka melanda dalam tempoh 24 jam. Jika berlaku, ini akan menjadi ribut tropika ketiga terburuk melanda negara selepas Greg pada 1996 dan Vamei pada 2001. Negeri yang sudah dilanda banjir pula dijangka mengalami keadaan lebih buruk kerana paras air sungai dan perairan ketika ini sudah tepu, selain turut membawa angin kencang serta laut bergelora,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat MetMalaysia hari ini.

MetMalaysia sebelum ini mengeluarkan amaran mengenai pembentukan ribut tropika yang dikesan pada kedudukan Latitud 3.7° Utara dan Longitud 98.6° Timur. Ribut berkenaan dijangka bergerak ke arah Timur Tenggara dengan kelajuan kira-kira 7 km sejam, serta berpotensi membawa angin maksimum mencecah 65 km sejam.

Dr. Mohd. Hisham menjelaskan bahawa ribut itu mula melanda Aceh dengan kekuatan angin 80 km sejam dan dijangka melemah kepada 50 km sejam apabila memasuki Semenanjung.

“Kelajuan angin biasa hanyalah 10 hingga 20 km sejam. Ribut tropika akan menjadi lebih kuat jika menerima tenaga daripada hujan serta kelembapan,” ujarnya.

Fenomena ini berlaku apabila tiupan angin monsun dari China bertembung dengan sistem tekanan rendah di utara Semenanjung, sekali gus mengaktifkan ribut tersebut.

MetMalaysia turut memaklumkan bahawa nasihat sistem cuaca dikemas kini setiap tiga jam sejak 23 November lalu sebaik sahaja sistem ribut memasuki kawasan pemantauan dalam lingkungan latitud 0° hingga 20° Utara dan longitud 95° hingga 130° Timur.