
Ribut Tropika Senyar: Perkembangan Terkini & Langkah Pemantauan
Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) memaklumkan bahawa Ribut Tropika SENYAR yang dikesan di perairan Selat Melaka dijangka bergerak menghampiri negara kita.
Ketua Pengarah METMalaysia, Dr. Mohd Hisham Mohd Anip berkata ribut tersebut kini berada pada kedudukan Latitud 3.6° Utara dan Longitud 100.4° Timur. Ia dijangka bergerak ke arah timur pada kelajuan 9 km/j serta mampu mencapai kelajuan angin maksimum sehingga 50 km/j.
Hujan lebat, angin kencang & laut bergelora dijangka berlaku
Keadaan ini berpotensi membawa hujan lebat berterusan, angin kencang dan laut bergelora di kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia sehingga 29 November 2025.
Walaupun Malaysia terletak berhampiran garisan khatulistiwa dan lazimnya berada di luar laluan utama ribut tropika, negara pernah dilanda dua ribut tropika secara langsung, iaitu Ribut Tropika Greg pada 26 Disember 1996 di barat Sabah dan Ribut Tropika Vamei pada 26 Disember 2001 di selatan Semenanjung.
Justeru, METMalaysia telah mula mengeluarkan nasihat sistem cuaca setiap tiga jam sejak 23 November 2025 selepas sistem berkenaan memasuki kawasan pemantauan dalam lingkungan latitud 0° hingga 20°U dan longitud 95° hingga 130°T.
Perkembangan terkini turut menyaksikan MET Malaysia mengemas kini Amaran Ribut Tropika, Amaran Hujan Berterusan serta Amaran Angin Kencang dan Laut Bergelora melibatkan beberapa kawasan.
Ini termasuk negeri Kedah, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor berkuat kuasa dari 27 hingga 29 November 2025.
Dalam pada itu, orang ramai diingatkan supaya sentiasa peka terhadap maklumat dan amaran cuaca terkini, selain bersiap sedia menghadapi episod hujan lebat Monsun Timur Laut (MTL).
Maklumat terkini boleh diperoleh melalui laman web www.met.gov.my, aplikasi mobil myCuaca, media sosial rasmi dan talian hotline MET Malaysia 1-300-22-1638.


Sumber: METMalaysia
The post Ribut Tropika Senyar: Perkembangan Terkini & Langkah Pemantauan appeared first on Siakap Keli.

