
HARAPAN Arsenal untuk merapatkan jurang dengan pendahulu Liga Perdana Inggeris, Liverpool, menerima tamparan hebat apabila sekadar seri 1-1 dengan Manchester United di Stadium Old Trafford.
Declan Rice muncul wira The Gunners dengan jaringan penyamaan minit (m) ke-74, memadamkan kelebihan awal The Red Devils dijelmakan hasil sepakan percuma Bruno Fernandes (m-47).
Arsenal, yang kini menghuni tangga kedua liga, gagal mencatatkan kemenangan dalam tiga perlawanan terakhir mereka.
Menerusi 55 mata, anak buah Mikel Arteta ketinggalan 15 mata di belakang Liverpool, walaupun memiliki satu perlawanan.
Prestasi kurang memberangsangkan ini pastinya meresahkan Arteta khasnya komuniti penyokong Arsenal.
Manchester United pula terus bergelut dengan prestasi semasa yang tidak konsisten.
Hanya satu kemenangan dalam lima perlawanan terakhir liga, dan tiga kemenangan dalam 12 perlawanan terakhir, anak buah Ruben Amorim terperosok di tangga ke-14 dengan 34 mata.
Separuh masa pertama perlawanan ini berlangsung hambar menyaksikan kedua-dua pasukan gagal mencipta peluang berbahaya.
Arsenal mendominasi penguasaan bola, namun gagal menembusi benteng pertahanan Manchester United.
Fernandes akhirnya memecah kebuntuan Manchester United penghujung separuh masa pertama, menerusi sepakan percuma menewaskan penjaga gol Arsenal, David Raya.
Separuh masa kedua menyaksikan perlawanan kembali lebih rancak apabila Arsenal meningkatkan tekanan.
Rice akhirnya menyamakan kedudukan pada minit ke-74, menewaskan Andre Onana sambil meraikannya dengan isyarat 'senyap' kepada penyokong United.
"Ada sedikit gurauan bola sepak antara saya dan peminat...
"Saya mahu masuk ke kawasan itu (padang) dan dalam beberapa minggu kebelakangan ini, telah membuat lebih banyak larian.
"Saya mempunyai lebih banyak tenaga membuat larian tanpa bola dan bola semakin banyak 'jatuh' kepada saya dan saya telah mencipta lebih banyak peluang," kata Rice mengenai sambutan golnya.
United sebelum ini mencatatkan empat kekalahan berturut-turut di Liga Perdana menentang Arsenal, rekod terburuk Red Devils menentang Gunners dalam sejarah liga.
