
TAK ramai yang mampu hidup mewah dengan kerja sebagai penghantar makanan, tetapi lelaki ini buktikan dirinya mampu ‘buat’ duit sebagai rider Grab di Singapura.
Lapor asiaone.com, Afiq Zayany mendakwa beliau mampu menjana pendapatan kira-kira S$4,000 hingga S$6,000 (sekitar RM14,000 hingga RM20,000) sebulan.
Dalam satu perkongsian video di saluran YouTube, lelaki itu nekad kerja keras demi impian untuk beli banglo dua tingkat bernilai S$424,600 (RM1.4 juta) di Johor Bahru.
“Nak bukti? Saya boleh bagi,” kata Afiq dalam video tersebut.

Pemuda itu sanggup tunjuk tangkap layar daripada aplikasi Grab sebagai bukti dapat sekitar S$200 sehari di Singapura untuk minggu pertama bulan Jun.
Kata beliau yang sebelum ini pernah bekerja sebagai ejen insurans, purata pendapatan bulanan sebagai rider sekitar S$5,000 sebulan.
“Saya tak mahu ulas kenapa ada rider Grab lain merungut tentang gaji tapi bagi saya, tak ada masalah.
“Sebab setakat ini pendapatan saya masih stabil. Rasanya makin bertambah bila saya ada jadual tetap dan ikut disiplin kerja,” kongsinya.

Meskipun hujan atau panas, beliau akui tetap akan bekerja kerana sudah set target yang perlu dicapai secara harian, mingguan dan bulanan.
“Saya akan berusaha untuk kerja sebab nak capai semua sasaran income,” tegasnya.
DUGAAN
Namun, bekerja sebagai rider bukanlah semuanya indah apabila lelaki itu pernah berdepan dugaan termasuk motosikal rosak.
“Bila ingat balik nak tanggung kos baiki motor dan tak dapat kerja masa tu memang buat saya down… tapi tu lumrah kerja macam ni.
“Bagaimanapun, ada je momen manis macam ada pelanggan sediakan air dan snek untuk isi perut. Saya rasa mereka hargai kita dan sangat thoughtful,” tambahnya.

Dalam video sama, Afiq jelaskan dirinya mula bekerja jam 7 pagi hingga 2 petang dan tunjuk segala detail dalam telefon.
“Kalau kerja dalam enam ke tujuh jam, paling sikit boleh dapat dalam S$200 atau lebih kurang S$30 sejam,” katanya.
Ramai tertanya-tanya apa strategi dia? Sebanyak 25 penghantaran sehari secara konsisten itulah formula yang dipegang Afiq tanpa berselindung.

“Saya akan kerja setiap hari dan tak ambil cuti kecuali betul-betul penting. Nak buat apa cuti kalau tak ada benda nak buat,” ceritanya yang target 180 order seminggu untuk dapat insenti berjumlah S$150.
MOTOSIKAL JIMAT KOS
Satu lagi tips penting adalah jenis motosikal digunakan kerana Afiq memberitahu, hanya guna Yamaha XMax dengan kos servis dan bayaran bulanan sekitar S$460.
“Kalau nak buat Grab, guna motor yang elok. Jimat kos penyelenggaraan dan tak mudah rosak. Minyak pula dalam S$6 hingga S$7.50 (RM20 hingga RM25 sehari).
“Kalau kerja macam saya, confirm boleh dapat S$4,000 sebulan tapi kuncinya kena disiplin, konsisten dan purata kena capai 25 order sehari,” katanya.

Afiq juga pesan, jangan mudah mengalah bila berdepan cuaca panas atau hujan.
“Saya bukan nak menunjuk, cuma nak kongsi perjalanan saya. Nak tunjuk, benda ni memang boleh buat.
“Semua kerja perlukan disiplin termasuklah rider Grab. Kena bangun awal dan masuk kerja ikut masa. Jadi boss untuk diri sendiri memang best, tapi susah juga kalau tak pandai urus,” nasihatnya.
