Rifdean Masdor KO Lawan Indonesia Dalam 2 Minit, Netizen Terhibur Aksi & Gelagat Atas Gelanggang

17 Jan 2026 • 5:25 PM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

BANGKOK – Petarung Muay Thai negara, Rifdean Masdor, sekali lagi membuktikan beliau berada di kelas tersendiri apabila menewaskan wakil Indonesia, Muhammad Redho ‘Rocky’, secara knock out (KO) pada pusingan pertama dalam aksi ONE Friday Fights 138 di Stadium Lumpinee, Bangkok, malam tadi.

Rifdean hanya memerlukan 2 minit 35 saat untuk memastikan Redho tidak lagi berupaya meneruskan pertarungan, sekali gus mencatat kemenangan ketiga berturut-turutnya dalam kejohanan berprestij tersebut.

Kemenangan itu mengukuhkan lagi reputasi atlet negara berkenaan sebagai antara petarung paling digeruni dalam kategori atomweight.

“Saya Janji Tunjuk Yang Terbaik” – Rifdean

Dalam temu bual ringkas di atas gelanggang sejurus tamat perlawanan, juara dunia B-23 sebanyak tiga kali itu mengakui beliau turun dengan keyakinan tinggi untuk menamatkan perlawanan lebih awal.

Rifdean turut menzahirkan penghargaan kepada pasukan, penaja serta penyokong sebelum secara berseloroh menyifatkan serangannya sebagai “cip, cip, cip” yang akhirnya membawa kepada kemenangan KO seperti yang dijanjikannya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang terus memberikan sokongan padu sepanjang pembabitannya di pentas antarabangsa.

Netizen Terhibur, Prestasi Rifdean Jadi Bualan

Sementara itu, di media sosial Threads, rakaman perlawanan yang dimuat naik semula menerima pelbagai reaksi positif daripada netizen yang terhibur dengan aksi pantas serta gelagat bersahaja Rifdean di atas gelanggang. Ramai memuji keyakinannya, malah menyifatkan momen ketawa selepas kemenangan sebagai antara detik paling mencuit hati dalam perlawanan tersebut.

Ada juga yang berseloroh menggambarkan lawannya seakan menerima takdir sebaik sahaja serangan bertubi-tubi dilancarkan, selain mengaitkan sebutan “KO” oleh Rifdean dengan pengakhiran pantas perlawanan. Tidak kurang yang melihat prestasi konsisten itu sebagai petanda kelahiran legenda atomweight negara, dengan sebahagian peminat mula menyuarakan harapan untuk menyaksikan pertembungan Rifdean dengan nama besar seperti Nadaka pada masa akan datang. – The Malaysian Update