Rindu, bekas pengurus kenang jasa Allahyarham Siti Sarah

Entertainment
11 Aug 2026 • 3:30 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Rindu, bekas pengurus kenang jasa Allahyarham Siti Sarah

PETALING JAYA: Bekas pengurus Allahyarham Siti Sarah, Elyias Omar terus mengenang momen pahit manis bersama penyanyi itu meskipun sudah lima tahun pemergiannya.

Menurut Elyias, Sarah merupakan artis pertama yang diurusnya di saat dirinya tidak mempunyai sebarang pengetahuan dalam bidang hiburan, selain memuji keperibadiannya yang baik dan merendah diri.

“Ramai kata Sarah ini susah, diva, degil, tidak dengar cakap dan sebagainya. Tapi yang berlaku sebaliknya. Dia tidak pernah anggap aku macam pekerja dia. Kami bekerja seperti adik-beradik.

“Malah, seperti adik-beradik kandung. Mana tidaknya, adik-beradik dia semua lelaki. Aku sajalah yang paling rapat dan ‘paling perempuan’. Lagi perempuan dari dia,” katanya di Threads.

Dalam hantaran sama, bekas pengurus penyanyi itu turut berkongsi segala jatuh bangun yang dilalui bersama arwah demi mengukuhkan kedudukannya dalam industri muzik tanah air.

“Walaupun aku budak baru, dia hormar aku. Semua keputusan di tangan aku. Dia cuma akan fokus pada nyanyian dan suara dia saja. Selainnya, aku. Baju, solekan, persembahan, semua aku!

“Aku suruh pakai baju bulu ayam, dia pakai. Memang dikecam, tapi sebab itulah orang kenal dia balik selepas tewas di One in A Million musim kedua (OIAM2).

“Suruh potong rambut bob ala-ala Rihanna pun dia ikut, walaupun dia sejenis suka pakai penyambung rambut sebab mahu kepuk-kepuk sepertu Beyoncé. Saya asah dia sekali lagi sampai ke Los Angeles pada 2009,” kongsinya.

Dalam pada itu, Elyias turut mendedahkan luahan arwah Sarah yang pernah berputus asa selepas berdepan pelbagai kecaman mengenai penampilan dan peribadinya sepanjang bergelar anak seni.

“Sepanjang kerja, tidak pernah dia sakiti hati aku. Tapi pelik, orang luar kata lain, sedangkan aku lalui benda yang lain. Satu hari dia telefon beritahu bahawa dia mahu kahwin dan orang tidak akan mengingatinya.

“Aku cakap, tidak mengapa Siti. Rezeki Allah luas. Macam awak ajar saya, kadang-kadang ada benda kita kena lepaskan untuk benda yang lebih baik. Benar, dia kahwin, jadi isteri, kemudian jadi ibu.

“Dia juga jaga mak dia yg sakit. Walaupun orang nampak dia susah sampai berniaga di pasar malam di Kuala Selangor, tapi kemudian Allah bagi rezeki yang tiada galang ganti.

“Masuk Gegarvaganza (GV), lancarkan lagu Semakin, terus meletup balik. Sampailah kematiannya menjadi satu tragedi yang meniti di setiap bibir manusia, bukan hanya di Malaysia malah ke negara-negara jiran. Sehingga BBC dan CNN buat liputan,” katanya lagi.

Elyias bagaimanapun sempat meluahkan rasa syukur kerana dipertemukan dengan insan sebaik arwah Sarah yang banyak mengajarnya dalam mengenal erti hidup dengan lebih bermakna.

“Tengok Siti, Allah bagi orang kenal awak bukan sahaja di Malaysia, dan kenal awal dengan kebaikan awak. Berkat kebaikan hati awak. Tanyalah sesiapa pun yang pernah kerja dengan awak, semua kata awak akan buat dorang rasa macam kawan lebih dari bekerja.

“Rindu. Terima kasih ya Allah pinjamkan dia. Dari dia aku tahu pentingnya berbuat baik dan bersedekah. Bergaduh itu perkara biasa bila bekerja. Tapi melukai hati aku? Tidak pernah sama sekali. Al-Fatihah buat Siti Sarah,” ujarnya.

The post Rindu, bekas pengurus kenang jasa Allahyarham Siti Sarah appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved