HULU SELANGOR, 13 JAN: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI mengagihkan kira-kira RM25,000 bagi membantu penduduk Kampung Selisek dan Kampung Serigala, Hulu Bernam yang terjejas banjir pada Ogos tahun lalu.
Ketua Yayasan MBI Ahmad Azri Zainal Nor berkata sumbangan merangkumi wang tunai RM500 kepada 47 keluarga serta bakul makanan dan barangan keperluan kepada kira-kira 200 mangsa.

“Ketika kejadian pada awal Ogos itu, kita serahkan bakul makanan dan wang tunai RM100 kepada mangsa. Hari ini kita serahkan baki RM400 untuk setiap keluarga bagi meringankan beban mereka.
“Kita perlukan sedikit masa lengkapkan proses dokumentasi sebelum serahan dibuat. Kita harap sumbangan ini membantu mereka selepas berdepan banjir yang turut mengakibatkan kerugian,” katanya.
Terdahulu beliau menyerahkan bantuan berkenaan pada majlis yang berlangsung di Dewan Serbaguna Kampung Sekolah Sungai Selisek, Hulu Bernam Selatan hari ini.
Pada 5 Ogos tahun lalu, penyelaras Hulu Selangor Dr Sathia Prakash Nadarajan memaklumkan seramai 143 penduduk dari 50 buah keluarga ditempatkan di di pusat pemindahan sementara (PPS) selepas rumah mereka dinaiki air setinggi 0.3 meter.
Mangsa melibatkan penduduk Kampung Serigala, Kampung Sungai Nilam, Kampung Sekolah, Kampung Masjid dan Kampung Paya Lebar.


The post Ringan beban mangsa banjir, MBI hulur bantuan wang tunai, bakul makanan appeared first on Selangorkini.

