
PETALING JAYA, 10 NOV: Usaha meringankan beban keluarga yang menjaga warga emas, khususnya membabitkan kos kesihatan dan keperluan penjagaan harian, menjadi antara keutamaan Ahli Majlis Zon 12 Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), K. Thayalan.
Beliau berkata tumpuan itu diberikan memandangkan Petaling Jaya mempunyai ramai penduduk dalam kalangan pesara dan warga emas yang memerlukan sokongan dari aspek kesihatan, kebajikan serta kehidupan bermasyarakat.
Menurutnya, program kesihatan berasaskan komuniti akan dipergiat menerusi kerjasama dengan rakan komuniti setempat bagi membantu memenuhi keperluan golongan berkenaan.
"Fokus utama saya adalah untuk memberi perhatian kepada keperluan warga emas, khususnya dari segi kemudahan mesra warga emas, keperluan sosial dan kesejahteraan komuniti," katanya selepas ditemui pada majlis angkat sumpah sebagai Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya di hadapan Timbalan Datuk Bandar MBPJ Sharinaz Samsudin di Dewan Ibu Pejabat MPPJ Petaling Jaya, hari ini.
Thayalan berkata usaha menjaga kebajikan warga emas juga perlu dilaksanakan secara menyeluruh, termasuk menyediakan infrastruktur mesra golongan berusia serta memperkukuh sokongan sosial dalam komuniti.
Beliau turut berhasrat menyokong inisiatif kerajaan bagi mengurangkan beban keluarga yang menjaga warga emas, terutama dalam mendepani kos kesihatan dan keperluan penjagaan harian.
Mengulas perancangan tahun depan, Thayalan berkata beliau komited meneruskan khidmat kepada penduduk Petaling Jaya dengan memanfaatkan pengalaman dalam melaksanakan pelbagai program kemasyarakatan.
"Saya akan mengambil alih tanggungjawab dan meneruskan usaha yang pernah dilaksanakan oleh mendiang Terence Tan Teck Seng, selain bekerjasama dengan Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran dalam membantu melaksanakan program kerajaan dan MBPJ," katanya.






