Ringgit berpotensi cecah RM3.97 dalam tempoh 12 bulan

Business & Finance
27 Oct 2026 • 7:06 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Ringgit berpotensi cecah RM3.97 dalam tempoh 12 bulan

PETALING JAYA: Ringgit dijangka mengukuh secara beransur-ansur kepada RM3.97 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh 12 bulan akan datang, didorong pertumbuhan ekonomi domestik yang kukuh, inflasi terkawal serta aliran masuk modal berterusan.

Hong Leong Bank Bhd. (HLB) berkata, prospek mata wang tempatan itu turut disokong Belanjawan 2027 yang dijangka memperkukuh momentum pertumbuhan ekonomi negara.

Bank itu mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang lima peratus tahun depan dengan Belanjawan 2027 menyediakan hala tuju strategik untuk mempercepat pertumbuhan ekonomi bernilai tinggi, di samping mengekalkan disiplin fiskal dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Dengan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak lima peratus, HLB mengekalkan prospek positif terhadap trajektori ekonomi Malaysia dan melihat unjuran pertumbuhan KDNK kerajaan antara 4.2 hingga 5.2 peratus pada 2027 sebagai realistik dan boleh dicapai.

“Bagi perniagaan, tumpuan terhadap produktiviti, pembangunan tenaga kerja dan sokongan bersasar membuka peluang untuk memperkukuh daya tahan operasi, meningkatkan keupayaan serta meneroka pertumbuhan bernilai lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan.

Prospek itu dibincangkan dalam forum pelanggan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), ‘Business Matters with HLB: Budget 2027 Unpacked’ yang menghimpunkan wakil kerajaan, industri dan pakar percukaian bagi membincangkan implikasi Belanjawan 2027 terhadap perniagaan serta prospek ekonomi Malaysia.

Sementara itu, Pengarah Urusan Perbankan Perniagaan dan Korporat HLB, Yow Kuan Tuck berkata, kerajaan kekal memberi tumpuan kepada usaha membantu perniagaan tempatan meningkatkan keupayaan, produktiviti dan daya tahan jangka panjang.

“Perubahan rantaian bekalan global, peningkatan kos operasi dan perubahan dinamik tenaga kerja menuntut perniagaan bukan sahaja menyesuaikan diri dengan pelarasan kos.

“Ini termasuk kenaikan gaji minimum, malah memperkukuh operasi bagi meningkatkan nilai tambah pengeluaran.

“Bagi menyokong perjalanan ini, HLB kekal komited untuk bersama-sama pelanggan dengan menyediakan modal dan khidmat nasihat yang diperlukan bagi membina daya saing jangka panjang,” katanya.

HLB berkata, jaminan pembiayaan bersasar, langkah percukaian serta sokongan terhadap penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan automasi turut membuka peluang kepada perniagaan, khususnya PKS, untuk meningkatkan produktiviti serta menembusi pasaran baharu.

“Pendekatan fiskal kerajaan yang berhemat tetapi menyokong pengembangan ekonomi turut bertujuan meningkatkan potensi pertumbuhan, memperbaiki taraf hidup rakyat dan memperkukuh tadbir urus,” katanya. – UTUSAN

The post Ringgit berpotensi cecah RM3.97 dalam tempoh 12 bulan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved