amree23/10/2026 - 09:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 23 Okt – Marine & General Berhad mengekalkan prospek berhati-hati bagi perniagaan huluan meskipun menjangka pemulihan secara beransur-ansur aktiviti penerokaan serta pembangunan minyak dan gas (O&G) di Malaysia antara 2026 hingga 2028.
Unjuran berkenaan jelasnya, disokong kontrak jangka panjang bagi kapal jenis 'anchor handling tug supply' (AHTS) sepanjang 60 meter milik kumpulan, yang dijangka menyediakan asas hasil stabil dalam persekitaran sengit industri perkhidmatan luar pesisir.
Bagaimanapun, kumpulan itu berdepan persaingan mencabar dalam tempoh terdekat apabila kadar sewaan kapal domestik kembali normal dan proses tender semakin kompetitif, sekali gus berpotensi memberi tekanan kepada margin keuntungan syarikat.
"Marine & General turut melihat usia armada kapal sokongan luar pesisir (OSV) serantau semakin meningkat sebagai faktor boleh menyokong keseimbangan pasaran, susulan pelaburan terhad dalam pembinaan kapal baharu," katanya dalam kenyataan.
Syarikat itu menerusi Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) berkata, tumpuan berterusan kebolehpercayaan operasi, pengurusan kos, ketersediaan kapal dan pengoptimuman armada penting bagi mengekalkan prestasi kontrak serta daya tahan perniagaannya.
Bahagian huluan kumpulan bagaimanapun masih berdepan cabaran industri, termasuk peralihan tenaga, peningkatan kos penggerudian dan operasi serta keperluan pematuhan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang semakin ketat akhir-akhir ini.

Bagi bahagian hiliran pula ujar Marine & General, pasaran kapal tangki Malaysia dijangka kekal stabil dalam tempoh terdekat, disokong dengan banyak aktiviti hiliran secara konsisten serta pengedaran produk petroleum bertapis yang aktif.
"Secara keseluruhan, syarikat mengekalkan prospek neutral bagi tahun kewangan berikutnya mengambil kira sokongan daripada kontrak jangka panjang kapal AHTS dan jangkaan peningkatan aktiviti penerokaan serta pembangunan O&G di Malaysia," katanya.
Prospek itu namun masih perlu diseimbangkan dengan keadaan pasaran semasa, ketidaktentuan ekonomi global dan risiko geopolitik yang tidak stabil boleh mempengaruhi segala aktiviti industri serta keputusan pelaburan syarikat O&G sendiri.
Ujar Marine & General, pengurusan operasi dan sumber modal akan dilaksanakan secara berhemat, dengan keputusan operasi berpandukan perkembangan pasaran serta keadaan ekonomi bagi memastikan keupayaan menghadapi perubahan persekitaran perniagaan.
Dalam AGM berkenaan, kesemua lapan resolusi biasa yang dikemukakan untuk pertimbangan pemegang saham diluluskan, sekali gus melengkapkan urusan mesyuarat tahunan ketika kumpulan terus memberi tumpuan kepada pengurusan risiko dan pengukuhan prestasi. - DagangNews.com



