
PETALING JAYA: Ringgit berpotensi mengukuh sehingga RM3.90 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) menjelang akhir tahun, sekiranya momentum ekonomi domestik, prestasi eksport dan aliran pelaburan terus menunjukkan perkembangan positif.
Malah, paras RM3.90 kini dilihat sebagai sasaran yang semakin realistik berikutan ekonomi Malaysia berkembang lebih kukuh daripada jangkaan, manakala eksport mencatat pertumbuhan luar biasa pada Julai.
Pakar Ekonomi Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Prof. Emeritus Barjoyai Bardai berkata, pengukuhan ringgit ketika ini tidak lagi wajar dilihat semata-mata sebagai kesan kelemahan dolar AS, sebaliknya semakin mencerminkan pengukuhan asas ekonomi Malaysia.
“Jika momentum ekonomi, eksport dan aliran pelaburan terus bertahan seperti sekarang, saya melihat ringgit mempunyai ruang untuk bergerak lebih jauh daripada paras RM4.
“Dalam senario positif, RM3.85 hingga RM3.95 bagi setiap dolar AS kini bukan lagi sesuatu yang terlalu agresif, manakala paras RM3.90 berpotensi diuji dengan lebih serius,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambahnya, perkembangan ekonomi terkini memberikan asas yang lebih kukuh untuk ringgit meneruskan trend pengukuhan dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Sementara itu, Pensyarah Kanan, Sekolah Perakaunan dan Kewangan, Sekolah Perniagaan Taylor, Fakulti Perniagaan dan Undang-undang, Universiti Taylor, Dr. Paul Anthony Maria Das berkata, ringgit dijangka terus mencatat pengukuhan secara beransur-ansur dengan paras RM4 bagi setiap dolar AS dilihat sebagai tahap rujukan yang realistik menjelang akhir tahun ini.
Ujarnya, berdasarkan keadaan ekonomi semasa, ringgit berpotensi bergerak dalam julat RM3.95 hingga RM4.10 berbanding dolar AS menjelang akhir 2026.
“Ringgit mempunyai ruang untuk bergerak ke arah RM4 atau sedikit di bawah paras tersebut sekiranya pertumbuhan ekonomi Malaysia kekal kukuh, eksport terus berkembang dan dolar AS melemah.
“Namun, pengukuhan itu tidak dijangka berlaku secara satu hala berikutan risiko geopolitik, pergerakan harga komoditi serta perubahan jangkaan kadar faedah AS yang masih boleh mencetuskan turun naik.
“Saya lebih selesa melihat RM4 sebagai paras rujukan yang realistik berbanding membuat unjuran bahawa ringgit akan mengukuh jauh di bawah RM3.90 dalam tempoh yang singkat,” katanya.
Paul berkata, pengukuhan ringgit ketika ini turut mencerminkan persepsi yang semakin positif terhadap prospek ekonomi Malaysia, namun kekuatan mata wang semata-mata belum memadai untuk membuktikan pelabur asing telah kembali secara besar-besaran ke pasaran tempatan.
Sebaliknya, katanya, keyakinan pelabur dalam jangka panjang lebih bergantung kepada keupayaan Malaysia mengekalkan pertumbuhan ekonomi, kestabilan dasar, disiplin fiskal serta pelaksanaan reformasi.
“Jika perkara ini berterusan, keyakinan pelabur boleh menjadi lebih bersifat jangka panjang dan bukan sekadar aliran modal sementara,” katanya.
Dalam perkembangan sama, prospek kadar faedah AS dan keputusan Rizab Persekutuan (Fed) dijangka terus menjadi antara faktor luaran paling penting yang mempengaruhi pergerakan ringgit dalam beberapa bulan akan datang.
Menurut beliau, sekiranya Fed mengekalkan kadar faedah atau memberikan isyarat dasar yang kurang agresif, tekanan terhadap mata wang Asia termasuk ringgit lazimnya akan berkurangan.
“Sebaliknya, inflasi AS yang kembali meningkat dan jangkaan kadar faedah kekal tinggi atau dinaikkan boleh menyebabkan dolar AS kembali mengukuh, sekali gus memberi tekanan kepada ringgit.
“Selagi Fed tidak menjadi jauh lebih agresif dan asas ekonomi Malaysia terus kukuh, ringgit masih mempunyai ruang untuk mengukuh secara beransur-ansur.
“Namun, pergerakannya tidak akan berlaku dalam satu garis lurus dan turun naik jangka pendek masih perlu dijangkakan,” katanya. – UTUSAN
The post Ringgit berpotensi tembusi RM3.90, disokong ekonomi domestik kukuh appeared first on Utusan Malaysia.





