
PETALING JAYA: Ringgit berpotensi menguji paras sekitar RM3.95 hingga RM3.98 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dalam masa terdekat sekiranya dolar AS melemah dan aliran modal yang lebih menggalakkan ke pasaran Asia yang pesat membangun.
Profesor Ekonomi di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Law Siong Hook berkata, ringgit dijangka mengekalkan kecenderungan untuk mengukuh secara sederhana dalam tempoh terdekat, disokong oleh asas ekonomi domestik Malaysia yang kukuh.
Ujarnya, ringgit sedang menghampiri paras psikologi penting pada RM4 dan turun naik dua hala mungkin menjadi lebih ketara kerana pengimport mungkin meningkatkan pembelian dolar AS, manakala pengeksport dan pelabur pula mungkin mengambil keuntungan daripada pegangan ringgit mereka.
“Dalam tempoh yang sangat dekat, saya berpandangan bahawa julat dagangan sekitar RM3.98 hingga RM4.05 bagi setiap dolar AS adalah munasabah.
“Penembusan yang berkekalan di bawah RM4 adalah mungkin, tetapi kemungkinan besar memerlukan pemangkin tambahan.
“Justeru, penilaian saya ialah paras RM4 kini semakin mudah dicapai, tetapi pengukuhan ke RM3.95 memerlukan persekitaran luaran yang lebih kondusif dan bukan bergantung kepada asas domestik semata-mata,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, perbezaan kadar faedah antara Malaysia dan AS kekal penting dalam mempengaruhi aliran modal.
Menurutnya, Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus, manakala kadar faedah AS masih berada pada paras yang lebih tinggi.
“Sekiranya kadar faedah AS kekal tinggi atau meningkat lagi, aset dalam denominasi dolar AS akan terus kelihatan menarik, sekali gus mengehadkan kadar pengukuhan ringgit.
“Selain itu, jika inflasi AS kekal tinggi, pasaran mungkin menjangkakan Rizab Persekutuan (Fed) AS mengekalkan dasar monetari yang ketat untuk tempoh lebih lama atau bahkan mempertimbangkan kenaikan kadar faedah selanjutnya. Keadaan ini biasanya menyokong dolar AS dan memberi tekanan kepada mata wang serantau,” jelasnya.
Mengulas mengenai prospek mata wang negara bagi baki 2026, Siong Hook berkata, ringgit dijangka terus mendapat sokongan dan berpotensi mengukuh secara beransur-ansur.
“Julat asas yang munasabah menjelang akhir tahun ialah sekitar RM3.95 hingga RM4.05 berbanding dolar AS, dengan kemungkinan ringgit bergerak seketika ke arah RM3.90 hingga RM3.95 jika persekitaran global menjadi lebih menyokong.
“Pandangan ini disokong oleh beberapa faktor domestik. Pertumbuhan ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan, inflasi masih terkawal dan keadaan ini memberikan BNM ruang yang lebih besar untuk menguruskan dasar monetari secara berhati-hati.
“Prestasi eksport elektrik dan elektronik (E&E) yang kukuh, kitaran teknologi global, penerimaan pelancongan, aliran masuk pelaburan serta kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan semikonduktor dan pusat data juga berpotensi menghasilkan aliran masuk pertukaran asing tambahan,” ujarnya.
Tambahnya, pelabur perlu memberi perhatian kepada beberapa risiko utama termasuk dasar monetari dan inflasi AS dan hasil bon Perbendaharaan AS. – UTUSAN
The post Ringgit berpotensi uji RM3.95 jika dolar AS melemah, aliran modal naik appeared first on Utusan Malaysia.





