RINGGIT dibuka tinggi berbanding dolar AS pada Jumaat dalam sentimen berhati-hati menjelang petunjuk daripada Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) di Simposium Jackson Hole tahunan, kata penganalisis.
Pada 8.01 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.0255/0345 berbanding dolar AS daripada 4.0305/0350 semasa ditutup pada Khamis.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, peserta pasaran dijangka terus memantau sentimen yang diguna pakai oleh penggubal dasar di simposium tersebut, terutamanya kenyataan daripada para pegawai Fed AS.
"Tumpuan hari ini adalah kepada apa yang akan digambarkan oleh Pengerusi Fed AS Kevin Warsh mengenai keadaan ekonomi dan pasaran semasa di Simposium Jackson Hole.
"Kemungkinan besar, keadaan akan kekal terhad dari segi prospek masa depan. Berdasarkan Indeks Harga Pengguna (IHP) baru-baru ini, pengerusi Fed mungkin cenderung untuk mengekalkan kadar faedah pada paras tinggi,” katanya kepada Bernama.
Oleh itu, Mohd Afzanizam menjangka ringgit kekal dalam jajaran kecil hari ini.
Pada sesi pembukaan, ringgit diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama, bagaimanapun menurun berbanding pound kepada 5.4731/4853 daripada 5.4714/4775 semasa ditutup semalam.
Ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.5268/5326 daripada 2.5274/5304 semasa ditutup pada Khamis dan naik berbanding euro kepada 4.6909/7014 daripada 4.6919/6971 sebelum ini.
Mata wang tempatan turut diniagakan tinggi berbanding mata wang serantau.
Ringgit naik berbanding dolar Singapura kepada 3.1672/1745 daripada 3.1686/1724 pada Khamis, meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 226.8/227.4 daripada 227.1/227.5 dan menokok berbanding baht Thailand kepada 12.2411/2764 daripada 12.2534/2715 sebelum ini.
Bagaimanapun, mata wang tempatan mendatar berbanding peso Filipina kepada 6.51/6.53. - Bernama





