
PETALING JAYA: Globetronics Technology Bhd (Globetronics) mencatatkan hasil RM21 juta bagi suku keempat berakhir 30 Jun 2026, meningkat 24 peratus berbanding RM16.9 juta pada suku sebelumnya.
Peningkatan hasil itu didorong terutama oleh sumbangan lebih tinggi daripada aktiviti pembuatan dan kimia kumpulan.
Seiring peningkatan hasil, keuntungan kasar Globetronics melonjak 206 peratus kepada RM4.1 juta pada suku keempat tahun kewangan 2026 (TK2026) daripada RM1.3 juta pada suku ketiga, manakala margin keuntungan kasar meningkat kepada 19.6 peratus berbanding 8.0 peratus sebelum ini.
Bagaimanapun, kumpulan mencatatkan kerugian operasi RM26.31 juta pada suku berkenaan berbanding RM13.76 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2026.
Kerugian sebelum cukai (LBT) pula meningkat kepada RM28.54 juta daripada RM13.47 juta, manakala kerugian selepas cukai (LAT) berjumlah RM27.33 juta berbanding RM13.64 juta pada suku sebelumnya.
Kerugian lebih tinggi itu antara lain disebabkan rosot nilai saham keutamaan dan aset kewangan berbanding suku sebelumnya.
Bagi keseluruhan tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026, kumpulan mencatatkan hasil RM80.4 juta dan keuntungan kasar RM13.4 juta.
Bagaimanapun, Globetronics merekodkan LAT RM56.4 juta bagi tahun kewangan berkenaan, dengan prestasi keseluruhan terjejas akibat beban pelanggan yang lebih rendah serta beberapa perbelanjaan yang ditanggung sepanjang tahun.
Antara faktor yang memberi kesan kepada prestasi termasuk penurunan nilai saham keutamaan, pembayaran berasaskan saham dan bahagian kerugian kumpulan daripada syarikat bersekutu.
Pihak pengurusan Globetronics berkata, walaupun persekitaran operasi kekal mencabar sepanjang TK2026, peningkatan hasil dan keuntungan kasar secara berurutan pada suku keempat memberikan perkembangan yang menggalakkan.
“Peningkatan itu disokong oleh sumbangan pembuatan yang lebih tinggi dan pengurusan kos yang berdisiplin.
“Kumpulan akan terus memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh keupayaan, mendapatkan peluang pelanggan dan produk baharu serta memajukan pelaburan strategik dan kerjasama bagi membina asas pertumbuhan yang lebih mampan,” katanya.
Pada 30 Jun 2026, jumlah aset kumpulan berjumlah RM262.5 juta, manakala jumlah ekuiti yang boleh diagihkan kepada pemilik syarikat ialah RM238.8 juta.
Sepanjang TK2026, Globetronics melabur RM24.3 juta dalam hartanah, loji dan peralatan bagi menyokong keupayaan pembuatan serta teknologinya.
Kumpulan turut mempunyai komitmen modal berjumlah RM18.9 juta bagi hartanah, loji dan peralatan pada akhir tahun kewangan.
Mengulas prospek, Globetronics berkata, kumpulan akan terus memberi tumpuan kepada usaha mendapatkan peluang perniagaan baharu, meningkatkan kecekapan operasi serta mengukuhkan portfolio produk dan pelanggannya.
Pada masa sama, kumpulan akan meneruskan kerjasama strategik dan pembangunan keupayaan teknologi bagi mengharungi ketidaktentuan dalam industri semikonduktor, dengan matlamat meningkatkan prestasi operasi dan kewangan pada masa hadapan.-UTUSAN
The post Globetronics catat hasil RM21 juta pada suku keempat TK2026 appeared first on Utusan Malaysia.






