RINGGIT dibuka tinggi berbanding dolar AS pada Rabu, disokong oleh penyusutan mata wang unit negara maju itu dan penurunan hasil bon Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS), kata penganalisis.
Pada 8.04 pagi, unit tempatan meningkat kepada 4.0380/0445 berbanding dolar AS daripada 4.0405/0440 semasa ditutup pada Isnin.
Pasaran ditutup pada Selasa sempena sambutan Maulidur Rasul.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, hasil bon Perbendaharaan AS jangka panjang kekal menjadi tumpuan, dengan hasil sekuriti Perbendaharaan AS bagi 30 tahun menurun sebanyak enam mata asas kepada 5.17 peratus.
Beliau berkata, terdapat laporan bahawa Jabatan Perbendaharaan AS dijangka menggunakan akaun am Perbendaharaan iaitu wang tunai yang disimpan di Rizab Persekutuan untuk membiayai program pembelian balik bon.
"Susulan itu, Indeks Dolar AS (DXY) turun 0.10 peratus kepada 98.905 mata.
"Sehubungan itu, ringgit dijangka menerima sokongan yang baik berikutan pihak berkuasa AS tidak memihak kepada persekitaran kadar faedah yang lebih tinggi,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata, masih wujud ketidaktentuan mengenai langkah dasar yang seterusnya oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS.
Sehubungan itu, ucapan Pengerusi Fed Kevin Warsh pada Simposium Jackson Hole minggu ini akan dinilai dengan teliti.
Pada pembukaan dagangan, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama namun meningkat sedikit berbanding yen Jepun kepada 2.5360/5402 daripada 2.5380/5402 semasa ditutup pada Isnin.
Ringgit susut berbanding pound Britain kepada 5.5099/5187 daripada 5.5080/5128 dan turun berbanding euro kepada 4.7140/7215 daripada 4.7132/7173 sebelum ini.
Mata wang tempatan diniagakan lebih tinggi berbanding mata wang serantau.
Ringgit mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 227.8/228.2 daripada 227.9/228.3, meningkat berbanding peso Filipina kepada 6.54/6.55 daripada 6.55/6.56 dan naik berbanding baht Thailand kepada 12.3486/3753 daripada 12.3589/3742 sebelum ini.
Bagaimanapun, unit tempatan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1810/186 daripada 3.1805/1835 pada Isnin.- Bernama





